Ahad, 31 Januari 2010

JANGAN HINA ISLAM, AYUH KITA BERWACANA (3)


JANGAN HINA ISLAM, AYUH KITA BERWACANA (3)

Ada pihak yang membangkitkan tentang kesamaan hak antara lelaki dan perempuan sehinggakan mereka menimbulkan kesangsian yang kononnya Islam merendahkan darjat perempuan dengan menyamakan kesaksian mereka dua orang dengan seorang lelaki.

Sebelum perbincangan ini diulas panjang, perlu diingatkan, bahawa bukan semua perkara melibatkan dua orang saksi perempuan itu menyamai saksi seorang lelaki, bahkan disana wujud kesaksian yang dikhususkan kepada lelaki sahaja, dan disana wujud juga kesaksian yang melibatkan kepada perempuan sahaja, malahan disana wujud juga kesaksian secara bersama.

KESAKSIAN LELAKI SAHAJA

Dalam kes yang melibatkan hudud, kesaksian yang dibenarkan hanya dari orang lelaki sahaja.

Hal ini merujuk kepada hadis riwayat Az-Zuhri yang berkata;

عن الزهري قال : مضت السنة من رسول الله صلى الله عليه وسلم والخليفتين من بعده ألا تجوز شهادة النساء في الحدود

Maksudnya;
”Daripada Az-zuhri berkata; telah berjalan Sunnah daripada Rasulullah SAW dan dua orang Khalifah selepasnya bahawa tidak harus penyaksian perempuan dalam perkara hudud
[1]

Apabila menyebut hudud, pasti akan melibatkan jenayah. Dalam perkara jenayah, perempuan dilarang terlibat sama. Ini disebabkan bagi mengelakkan mereka menjadi tumpuan ramai; tempat yang melibatkan pergaulan lelaki dan perempuan secara meluas dan zon jenayah.

Perempuan yang amat sinonim dengan perasaan malu, emosi, gementar dan sebagainya akan mengakitbatkan ketidak selesaan dalam urusan mahkamah, sedangkan dalam perkara yang melibatkan jenayah, ianya perlu teliti sehingga tidak melahirkan syubhat dalam menjatuhkan hukuman.

Pun begitu, ada ulama membenarkan kesaksian perempuan dalam urusan jenayah yang melibatkan perempuan sahaja, seperti jenayah yang berlaku dalam tandas wanita atau kawasan-kawasan khas bagi wanita.

KESAKSIAN PEREMPUAN SAHAJA

Kesaksian perempuan sahaja adalah dalam kes-kes yang melibatkan perempuan, seperti melahirkan anak, kedatangan haid, dara, janda dan sebagainya.

Az-Zuhri ada berkata;

مضت السنة أن تجوز شهادة النساء فيما لا يطلع عليه غيرهن من ولادات النساء وعيوبهن

Maksudnya;
”Telah berjalan Sunnah bahawa harus kesaksian perempuan pada perkara yang tidak boleh dilihat melainkan perempuan, daripada melahirkan anak dan kecacatan kaum perempuan (keaiban perempuan dalam kainnya)
[2]

KESAKSIAN BERSAMA ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN

Terdapat beberapa ayat Al-Quran yang menyebut berkenaan dengan kesaksian, tanpa disebut tentang perbezaan antara lelaki dan perempuan, bahkan ianya menggambarkan kesamaan dalam kesaksian, iaitu seperti berikut;

a) berkaitan dengan wasiat;

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا شَهَادَةُ بَيْنِكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ حِينَ الْوَصِيَّةِ اثْنَانِ ذَوَا عَدْلٍ مِنْكُمْ أَوْ آَخَرَانِ مِنْ غَيْرِكُمْ إِنْ أَنْتُمْ ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَأَصَابَتْكُمْ مُصِيبَةُ الْمَوْتِ

Maksudnya;
”Hai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu, atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan dimuka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian”

(Surah Al-Maidah : 106)

b) berkaitan dengan kes cerai;

firman Allah;

فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِنْكُمْ وَأَقِيمُوا الشَّهَادَةَ لِلَّهِ

Maksudnya;
”lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu karena Allah”

(Surah At-Talaq : 2)

Dalam hal talaq, ulama berbeza pendapat dalam menentukan, apakah ianya boleh dilibatkan kepada perempuan atau tidak. Pun begitu, sebilangan ulama menyatakan, orang perempuan juga boleh menjadi saksi dalam perkara yang melibatkan talaq.

KESAKSIAN DUA PEREMPUAN DENGAN SATU LELAKI

Dalam kes ini pula, jika dilihat didapati hanya melibatkan kepada urusan kewangan sahaja.

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ وَلْيَكْتُبْ بَيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَنْ يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللَّهُ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلَا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا فَإِنْ كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ وَاسْتَشْهِدُوا شَهِيدَيْنِ مِنْ رِجَالِكُمْ فَإِنْ لَمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّنْ تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ أَنْ تَضِلَّ إِحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَى

Maksudnya;
”Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu'amalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar. Dan janganlah penulis enggan menuliskannya sebagaimana Allah mengajarkannya, meka hendaklah ia menulis, dan hendaklah orang yang berhutang itu mengimlakkan (apa yang akan ditulis itu), dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangi sedikitpun daripada hutangnya. Jika yang berhutang itu orang yang lemah akalnya atau lemah (keadaannya) atau dia sendiri tidak mampu mengimlakkan, maka hendaklah walinya mengimlakkan dengan jujur. Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki (di antaramu). Jika tak ada dua oang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu ridhai, supaya jika seorang lupa maka yang seorang mengingatkannya”

(Surah Al-Baqarah : 282)


Kesaksian dua orang perempuan menyamai seorang saksi lelaki adalah dilihat dari sudut lumrah bagi lelaki dan perempuan. Ini kerana, islam memandangkan lelaki sebagai pencari nafkah keluarga; yang demikian tanggungjawab kewangan dipikul lelaki. Dalam keadaan itu, pastilah lelaki lebih mengetahui dalam urusan kewangan berbanding perempuan.

Adapun perempuan, biasanya tidak banyak terlibat dalam urusan kewangan. Mereka lebih banyak menumpukan perhatian dalam urusan rumahtangga dan anak-anak sebagai isteri dan ibu. Jika wujud juga dikalangan mereka yang terlibat dengan urusan kewangan, ia tidak menafikan lumrah kebiasaan ini.

Memandangkan kesibukan perempuan dalam urusan rumah tangga, menyebabkan akan lahirnya kurang teliti dan kurang daya ingatan berkenaan dengan urusan kewangan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang jarang sekali terlibat dalam urusan tersebut.

Memahami inilah, kita terpaksa mengakui dalam urusan kewangan, perempuan yang menjadi saksi tidak memadai seorang, tetapi hendaklah dua orang, kerana dengan dua orang, jika ada berlaku kesilapan dari satu pihak, pasti satu pihak lagi akan membaiki kesilapan tersebut, seperti yang tersebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 282.


Sekian

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com





- Sri Indah (B), Sg Buloh
1 Febuari 2010 * 12:44 petang.


[1] Ibnu Abi Syaibah : 6/544.
[2] Ibnu Abi Syaibah : 5/82.

Tiada ulasan: