Isnin, 16 Februari 2009

MENJAWAB SIS DALAM ISU "MUSAWAH" : SIRI 3

HARTA PENINGGALAN : LELAKI LEBIH, PEREMPUAN KURANG???

Ada sebilangan orang yang meragui Islam menyatakan bahawa Islam adalah agama yang tidak adil kerana meletakkan lelaki memiliki harta peninggalan lebih banyak berbanding perempuan.

Tidak dinafikan, memang Islam meletakkan harta peninggalan itu banyak diberikan kepada lelaki berbanding perempuan. Seperti contoh, anak perempuan mewarisi setengah daripada apa yang diwarisi oleh anak lelaki; seseorang isteri mewarisi ¼ dan suami ½ jika si mati tidak mempunyai anak; seorang isteri mewarisi 1/8 dan suami ¼ jika si mati mempunyai anak; jika si mati tidak mempunyai ibu bapa, ataupun waris, saudara perempuan mewarisi setengah daripada bahagian lelaki.

Jika kita menilai ini dari sudut kehendak nafsu, pasti kita akan merasakan sistem ini tidak adil sama sekali. Tetapi, yang paling tepat dalam hal ini, hendaklah dinilai dari sudut iman, juga dari sudut realistik dan logik.

Dalam Islam, lelaki mempunyai banyak tanggungjawab berbanding perempuan. Sebelum seseorang perempuan itu berkahwin, perempuan tersebut berada di bawah tanggungjawab bapa atau saudara lelakinya (sama ada abang atau adik). Tanggungjawab yang dimaksudkan adalah dengan menyediakan pakaian, makan minum dan semua keperluannya yang sudah pasti melibatkan kewangan.

Adapun setelah dia berkahwin, tanggungjawabnya berada pada suaminya, ataupun anak lelakinya.

Islam menetapkan, lelaki wajib memenuhkan keperluan perempuan yang berada dibawahnya, terutama dalam perkara yang melibatkan kepada kewangan. Adapun perempuan, mereka tidak mempunyai tanggungjawab kewangan yang perlu ditunaikan kepada orang bawahannya.

Ekoran dari itulah, Islam meletakkan hak harta pusaka itu, hendaklah diberikan kepada lelaki berlebihan berbanding diberikan kepada perempuan.

Alangkah indahnya islam dalam mengurus kehidupan manusia. Tapi sayang, ianya tidak dihargai oleh manusia.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
16 Febuari 2009 * 4:33 petang.

Tiada ulasan: