Isnin, 16 Februari 2009

PEMBUKTIAN MINUM ARAK YANG MERAGUKAN???

PEMBUKTIAN MINUM ARAK YANG MERAGUKAN???

SOALAN;

Ada 1 kes seorang sahabat dituduh minum arak. Oleh kerana bukti diperolehi secara mengintip dan mengintai, maka ianya ditolak. Minta komen??

JAWAPAN:

Seseorang yang dituduh melakukan jenayah syariah, tidak boleh dikenakan sebagai hukuman terhadapnya melainkan didatangkan bukti yang kukuh; yang boleh diterima oleh syarak.

Kaedah fiqh menyebut;

أَنَّ الْأَصْلَ بَرَاءَةُ الذِّمَّةِ

Maksudnya;
“Sesungguhnya asal sesuatu adalah bebas dari sebagai tanggungjawab
[1]

Dari kaedah ini, membuktikan kepada kita, bahawa sebarang tuduhan yang melibatkan jenayah, hendaklah dipastikan dengan bukti yang kukuh. Tanpa bukti yang kukuh, tuduhan tersebut hendaklah ditolak.

SYARAT PEMINUM ARAK YANG DIKENAKAN HUKUMAN

Peminum arak yang dikenakan hukuman hendaklah dalam keadaan berikut;

a) Baligh
b) Berakal
c) Kemahuan sendiri, bukan dipaksa
d) Minum melalui rongga mulut.
e) Peminum itu minum dalam keadaan dia tahu yang diminumnya itu adalah arak
f) Peminum itu sengaja minum kerana mahu mabuk

Seseorang yang minum arak tanpa dia mengetahui bahawa yang diminumnya adalah arak, maka hukuman tidak boleh dilaksanakan kepadanya.

Begitujuga, seseorang yang baru masuk islam (sebagai contoh), lalu minum arak dalam keadaan tidak mengetahui hukum minum arak itu haram dalam Islam, maka orang ini tidak boleh dikenakan hukuman hudud. Hal ini berasaskan kepada wujudnya Syubhat.

Sabda Nabi SAW:

ادرؤا الحدود بالشبهات

Maksudnya;
“tolaklah hukuman hudud (jangan laksanakan) dengan sebab wujudnya Syubhat (baca : kesamaran)”

Dah hadis;

ادْفَعُوا الْحُدُودَ مَا وَجَدْتُمْ لَهُ مَدْفَعًا

Maksudnya;
“Hindari hudud sekiranya kamu dapati ada pencegahnya
[2]

CARA PEMBUKTIAN

Cara pembuktian minum arak ini ada dua cara, iaitu;

a) Syahadah (orang menyaksikan peminum minum arak);
b) Iqrar (pengakuan peminum)

SYAHADAH:

Orang yang mahu menuduh seseorang itu minum arak, hendaklah dengan dua orang saksi yang adil. Penyaksian yang diberikan hendaklah dengan melafazkan dengan lidah, serta dengan kerelaan hatinya, bukan dipaksa.

Saksi yang diterima terhadap tuduhan minum arak itu adalah seperti berikut;

a) orang mukallaf
b) muslim
c) merdeka
d) bermaruah
e) orang yang adil
f) tidak ada tohmahan pada dirinya
g) bukan musuh kepada orang yang dituduh.

IQRAR

Pengakuan dari pihak peminum arak, memadai dengan sekali iqrar sahaja, dan hendaklah pengakuan itu tidak dipaksa dan dilakukan dalam keadaan sedar.

Pengakuan yang telah dibuat, lalu menarik balik pengakuannya, maka pihak hakim boleh sahaja menerima penarikan balik pengakuannya itu. ini kerana, apabila berlaku keadaan sebegini, sudah pasti akan wujud syubhat. Sedangkan nabi menyatakan, hudud tidak boleh dilaksanakan jika wujud syubhat menerusi hadis tersebut di atas.

PENUTUP

Dari ulasan ini, dfahami sekiranya sesuatu tuduhan yang dilakukan, hendaklah disertai dengan bukti-bukti yang kukuh; bukti-bukti yang diterima oleh syarak.

Sebarang bukti yang tidak kukuh, maka itu disebut sebagai Syubhat. Apabila syubhat, maka tidak boleh dikenakan hukuman terhadap orang yang dituduh tersebut.

Tuduhan secara mengintip dan mengintai, tidak boleh dijadikan sebagai bukti kukuh, melainkan ianya dikuatkan dengan bau mulutnya yang berbau arak atau terzahir dari pergerakannya sebagai orang yang sedang mabuk.

Pun begitu, tidak boleh terus dijatuhkan hukuman, bahkan hendaklah disoal siasat terlebih dahulu, apakah dia minum arak itu memang dengan kehendak dirinya, atau kerana dia jahil keharaman arak, atau memang sengaja dia minum arak dalam keadaan tahu hukum arak itu sememangnya haram dalam Islam.

Jika ini wujud unsur sengaja minum arak, dalam keadaan dia tahu hukum minum arak adalah haram selepas selesai soal siasat, maka hukuman hudud baru boleh dilaksanakan kepada peminum arak tersebut.

Sekian

Wallahu ’Alam




- Sri Indah (B), Sg Buloh
17 Febuari 2009 * 11:33 pagi.








[1] Al-Asybah wa An-Nazair : 1/95
[2] Sunan Ibni Majah : 2535.