Isnin, 7 September 2009

APABILA ABDULLAH BIN UBAI BUAT MASJID!!

kalau Abdullah bin Ubai masih hidup, mungkin inilah lambang parti pilihan hatinya
(United Munafiqin Nasional Organisation/Untuk Manusia No Otak)
APABILA ABDULLAH BIN UBAI BUAT MASJID!!

Abdullah bin Ubai bin Salul adalah bapa munafiqin pada zaman Nabi SAW. Demi mempengaruhi para sahabat, kononnya dia juga memperjuangkan islam, Abdullah bin Ubai membina sebuah masjid.

Pun begitu, masjid itu disuruh runtuh oleh Allah SWT, kerana pembinaannya bukan berasaskan kepada taqwa, tetapi politik murahan Abdullah bin Ubai untuk menarik pengaruh.

Kisah itu digambarkan dalam firman Allah;

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِنْ قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَى وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ * لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ * أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى تَقْوَى مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَمْ مَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ * أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى تَقْوَى مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَمْ مَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya;
“Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka Sesungguhnya bersumpah: "Kami tidak menghendaki selain kebaikan." Dan Allah menjadi saksi bahwa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya) * Janganlah kamu bersembahyang dalam mesjid itu selama-lamanya. Sesungguh- nya mesjid yang didirikan atas dasar taqwa (mesjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu sholat di dalamnya. Di dalamnya mesjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih * Maka apakah orang-orang yang mendirikan mesjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keridhaan-(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang- orang yang zalim. * Maka apakah orang-orang yang mendirikan mesjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keridhaan-(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang- orang yang zalim”

(Surah At-Taubah : 107-110)

Nampaknya, benar dakwaan sesetengah pihak bahawa sejarah berulang kembali. Skripnya sama, pentas sahaja berbeda. Ini kerana, jika di zaman Abdullah bin Ubai, dia sanggup membina masjid untuk menampakkan bahawa dia seperti beriman. Pada hari ini, presiden United Munafiqin Nasional Organisation (UMNO) menyebut seperti berikut;

“Memang benar sejak dahulu lagi apa yang kita lakukan ini selaras dengan tuntutan agama sebab peristiwa yang amat besar apabila mencapai kemerdekaan ialah menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan

“Memang benar sejak dahulu lagi apa yang kita lakukan ini selaras dengan tuntutan agama sebab peristiwa yang amat besar apabila mencapai kemerdekaan ialah menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan

Setiap institusi Islam yang besar, jasa siapa, jasa UMNO. Lihat sistem persekolahan Islam, Tabung Haji, sistem mahkamah syariah, undang-undang keluarga, jasa siapa. Inilah jasa UMNO untuk membangunkan umat Islam negara ini,”
(sila klik)

Apakah ini sudah cukup untuk dia mendakwa bahawa UMNO adalah parti beriman?? Abdullah bin Ubai buat kerja lama dahhhh…


Sekian

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
8 september 2009 * 4:15 pagi

AURATKAH SUARA PEREMPUAN?

AURATKAH SUARA PEREMPUAN?

Ada sebilangan manusia mendakwa bahawa suara perempuan dikira sebagai aurat. Mereka menyandarkan kenyataan mereka kepada nas-nas Islam juga. Antaranya adalah, satu hadis bahawa Nabi SAW bersabda;

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاءِ

Maksudnya;
“Tidak aku tinggalkan selepasku fitnah yang lebih mudharat terhadap orang lelaki daripada perempuan
[1]

Hadis ini dijadikan hujjah oleh mereka untuk mengkuatkan pendapat mereka yang menyebut bahawa suara perempuan adalah aurat. Pada mereka, semua suara wanita itu akan membawa kepada fitnah.

Pendapat sebegini pada hakikatnya melahirkan kekeliruan, malah mengandungi unsur penghinaan terhadap perempuan, sedangkan islam merupakan agama yang amat memuliakan perempuan.

Sebab itu, jika kita mendalami Al-Quran, kita akan dapati bahawa permulaan pemberatan hukum tidak diberikan kepada Adam seorang diri, ketika dibumi, malah pemberatan hukum itu berlaku setelah Adam ditemani oleh hawa.

Firman Allah;

وَقُلْنَا يَا آَدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا حَيْثُ شِئْتُمَا وَلَا تَقْرَبَا هَذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya;
”Kami berkata, ”wahai Adam, tinggallah kamu dan isteri kamu di dalam syurga. Makanlah kamu berdua daripada apa yang kamu mahu. dan jangan kamu berdua hampiri pokok ini, nescaya kamu berdua daripada kalangan orang-orang yang zalim”

(Surah Al-Baqarah : 35)

Dari ayat ini, kita akan dapat lihat bahawa larangan Allah terhadap adam agar jangan hampiri pokok dalam syurga itu bukan larangan terhadap adam sahaja, malah terhadap isterinya juga, iaitu hawa.

Padahal, sebelum hawa diciptakan lagi, Adam tidak pernah diberikan sebarang arahan pun, sama ada berbentuk suruhan ataupun berbentuk larangan.

Justeru, ini membuktikan kepada kita bahawa nas Islam, iaitu Al-Quran sendiri menyatakan bahawa perempuan bukanlah satu kalangan manusia yang boleh dipandang rendah, malah mereka wajib dipandang dengan pandangan yang mulia.

SUARA PEREMPUAN

Dakwaan mengatakan suara perempuan adalah aurat merupakan satu dakwaan yang tidak benar. Ini kerana, jika kita perhatikan kepada nas-nas Islam, kita akan dapati banyak kejadian yang memberi dalil bahawa suara perempuan tidak aurat.

Bukankah Allah SWT ada berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 53;

وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ

Maksudnya;
“apabila kamu meminta sesuatu perkara daripada mereka (isteri-isteri nabi), maka mintalah daripada belakang hijab”

(Surah Al-Ahzab : 53)

Ayat ini membuktikan bahawa suara perempuan tidak dikira sebagai aurat. Jika ia dianggap sebagai aurat, masakan dalam ayat ini Allah SWT menyuruh para sahabat meminta sesuatu perkara itu daripada isteri-isteri Nabi. Apabila meminta, sudah pasti mengharapkan jawapan balas. Justeru, jawapan balas itu sudah pasti berkaitan dengan suara.

Keadaan ini juga dapat dilihat kepada banyak hadis-hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh perempuan, seperti banyak hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah, Ummu Salamah dan banyak lagi.

Begitujuga, di zaman para sahabat terdapat banyak kisah yang menggambarkan suara perempuan tidak dikira sebagai aurat. Antaranya adalah, teguran seorang muslimat terhadap Omar yang ketika sedang menyampaikan satu ucapan di atas mimbar. Teguran perempuan yang kedengaran oleh mereka yang hadir dalam majlis ucapan Omar itu tidak diingkarkan atau dibantah oleh Omar, malah sahabat-sahabat nabi yang lain. justeru, ini membuktikan suara perempuan bukanlah aurat seperti dakwaan sesetengah pihak.

JANGAN MENGIURKAN

Walaupun nyata suara perempuan bukan dikira sebagai aurat, tetapi ia bukan bermaksud seseorang perempuan itu boleh bercakap dengan mana-mana lelaki pun dalam semua bentuk bunyian suara.

Justeru, dibimbangi wujud sebilangan lelaki yang mempunyai nafsu syahwat yang luar biasa, ataupun mempunyai penyakit hati yang agak susah untuk diubatkan, maka dilarang sama sekali terhadap perempuan bercakap dengan mana-mana lelaki ajnabi dengan mengalunkan suara yang mengiurkan.

Suara yang hendak digunakan ketika berbicara dengan lelaki ajnabi hendaklah berbentuk agak garau, sekira-kira tidak melahirkan ngiur para lelaki apabila mendengarnya. Jikalau dia sengaja menggunakan alunan suara yang boleh mengiurkan, tindakannya itu merupakan dosa. Dosa tersebut, bukan kerana suara itu dikira sebagai aurat, tetapi disebabkan tindakanya yang sengaja menggunakan alunan suara yang boleh menaikan syahwat lelaki dan sebagainya.

Sekian

p/s : artikle ini adalah ulasan dan olahan dari kitab Fatawa Maasarah karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi jilid kedua.

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
8 september 2009 * 2:48 pagi



[1] Al-Bukhari : 4706.

DENGAN ISLAM, ANDA SIHAT.

Dengan Islam, anda sihat.

APAKAH SUAMI ADA KUASA MUTLAK?

APAKAH SUAMI ADA KUASA MUTLAK?

Apabila seseorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan, maka perempuan tersebut sudah berada dibawah tanggungannya. Perempuan yang merupakan isterinya itu pula, hendaklah meletakkan ketaatan terhadap suaminya melebih dari ibu dan bapanya.

Dalam hadis, Aisyah R.Ha bertanya Nabi SAW dengan katanya;

أي الناس أعظم حقا على المرأة قال زوجها قلت فأي الناس أعظم حقاعلى الرجل قال أمه

Maksudnya;
”siapakah manusia yang paling besar hak yang wajib ditunaikan oleh perempuan?”

”suaminya”
jawab Nabi

Aisyah bertanya lagi, ”siapa pula manusia yang paling besar hak yang wajib ditunaikan oleh lelaki”

”ibunya”
Nabi SAW memberikan jawapan
[1].

Dalam hadis ini, kita dapat melihat bahawa Nabi SAW meletakkan asas bahawa seseorang isteri, ketaatan yang hendak diberikan perlu didahulukan suaminya berbanding keluarganya.

Pun begitu, bukanlah keadaan ini membenarkan seseorang suami itu mempunyai kuasa mutlak terhadap isterinya, sehingga menyebabkan dia boleh lakukan apa sahaja terhadap isterinya.

Sesungguhnya ketaatan terhadap makhluk tidak mutlak sepertimana ketaatan terhadap Allah dan Rasul-Nya.

Sabda Nabi SAW;

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ عَلَيْهِ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya;
”Dengar dan taat merupakan kewajipan seseorang muslim pada perkara, sama ada dia suka atau dia benci. Itupun, selama tidak disuruh melakukan maksiat. Sekiranya disuruh melakukan maksiat, maka tidak ada dengar dan taat lagi
[2]

Justeru, ketaatan seseorang isteri terhadap suaminya masih lagi terbatas. Sekiranya suruhan itu berbentuk maksiat, maka ketaatan terhadap suami itu terbatal.

PUTUS SILATURAHIM

Ada sebilangan suami yang bertindak dengan sesuatu tindakan yang boleh menyebabkan isterinya terputus hubungan silaturahim dengan keluarganya. Dalam keadaan sedemikian, isteri tidak perlu mentaati terhadap tindakan atau suruhan suaminya itu.

Ini kerana, mengadakan hubungan silaturahim merupakan tuntutan syarak. Bermakna, apabila seseorang itu bertindak untuk memutuskan hubungan silaturahim, maka dia telah melanggar tuntutan syarak. Justeru, ia adalah perbuatan yang diharamkan oleh islam.

Sabda Nabi SAW;

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعٌ

Maksudnya;
”tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan silaturahim
[3]

Pun begitu, melakukan hubungan silaturahim bukan sekadar dengan berziarah sahaja. Sebaliknya, dengan cara bertelefon, berutusan surat, e-mail, SMS dan sebagainya juga sudah memadai untuk dikatakan sebagai mengadakan hubungan silaturahim.

Justeru, sekiranya seseorang suami tidak membenarkan isterinya menziarahi rumah keluarganya. tetapi, dia membenarkan isterinya mengadakan hubungan silaturahim dengan ibubapanya melalui cara-cara yang lain, maka ketika itu, haram seseorang isteri melanggar arahan suami dengan meninggalkan rumah untuk menziarahi keluarganya.

SUAMI TERHADAP ANAK PEREMPUAN

Ada sebilangan kes, yang mana seseorang bapa memaksa anaknya berkahwin dengan lelaki pilihannya, tanpa mendapat persetujuan dari anak perempuannya sendiri dengan alasan, bapanya itu dikira sebagai ”wali ijbari” iaitu wali yang boleh memaksa anaknya kahwin.

Tindakan sebegini menyanggahi maqasid Islam yang meletakkan asas perkahwinan sebagai sesuatu ketenangan, kasih sayang dan membahagiakan kehidupan.

Firman Allah;

وَمِنْ آَيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya;
”Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”

(Surah Ar-Rum : 21)

Lantaran itu, tidak hairan kalau kita membaca satu kisah dari hadis yang diriwayatkan oleh Imam An-Nasai, iaitu kisah yang berlaku kepada seorang anak gadis yang dipaksa berkahwin oleh bapanya dalam keadaan dia tidak bersetuju dengan pilihan bapanya.

Dia telah berjumpa dengan Aisyah R.Ha, melaporkan kejadian itu kepada Aisyah bahawa dia dikahwinkan oleh bapanya dengan sepupunya tanpa persetujuannya. Aisyah memaklumkan perkara ini kepada Rasulullah SAW.

Mendengar itu, Rasulullah SAW mengarahkan agar bapa anak gadis itu hadir. Lalu, Nabi SAW memberikan hak anak gadis itu pada dirinya sendiri dihadapan bapanya
[4].

Dari kisah ini, kita akan dapat memahami bahawa seseorang bapa –hakikatnya- tidak boleh memaksa anak gadisnya berkahwin dengan sesiapa yang dipilihnya, tanpa mendapat persetujuan dari anak gadisnya sendiri. Sebaliknya, sesuatu keputusan hendak mengkahwinkan anak gadisnya, hendaklah mendapat persetujuannya terlebih dahulu, waimma lelaki itu adalah pilihan si bapa sekalipun.

Sabda Nabi SAW;

لَا تُنْكَحُ الْبِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ وَلَا الثَّيِّبُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ إِذْنُهَا قَالَ إِذَا سَكَتَتْ

Maksudnya;
“seseorang anak gadis tidak boleh dinikahkan hinggalah diminta izin daripadanya. Seseorang janda tidak boleh dikahwinkan melainkan mendapat persetujuannya

Sahabat bertanya, “wahai Rasulullah, bagaimana izinnya itu?”

“apabila dia berdiam diri”
jawab Nabi SAW ringkas
[5].

Dari hadis ini, kita dapat melihat bagaimana Nabi SAW menekankan persetujuan dengan cara meminta izin terlebih dahulu dari anak gadis yang mahu dinikahkan. Bermaksud, walau bapanya itu mempunyai kuasa “wali ijbari” terhadap anak gadisnya, tetapi kuasa tersebut bukan bersifat mutlak, malah hendaklah mendapat persetujuan dari anak gadisnya terlebih dahulu.

Sekian

p/s : artikle ini adalah ulasan dan olahan yang merujuk kepada kitab Fatawa Maasarah karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi di jilid pertama dan jilid kedua ttg perempuan dan kekeluargaan.

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
9 september 2009 * 5:57 petang






[1] As-Sunan Al-Kubra : 9149.
[2] Sunan At-Tarmizi : 1269.
[3] Al-Bukhari : 5525.
[4] Sunan An-nasai : 3217.
[5] Sahih Al-BUkhari : 6453.

Ahad, 6 September 2009

APAKAH ORANG GILA WAJIB BAYAR ZAKAT??


APAKAH ORANG GILA WAJIB BAYAR ZAKAT??

Jumhur Ulama berpendapat, wajib zakat pada harta kanak-kanak yang belum baligh dan orang gila. Pendapat ini didokong oleh Imam syafie, Malik dan Ahmad.

Dalil-dalil mereka adalah seperti berikut;

Pertama:

firman Allah;

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا

Maksudnya;
“ambillah daripada harta mereka sedekah, pasti ia dapat membersihkan dan mensucikan mereka”

(Surah At-Taubah : 103)

Ayat Al-Quran ini, memperlihatkan bahawa zakat merupakan kewajipan harta. Ia merupakan ibadat berbentuk harta yang diwajibkan apabila cukup syarat-syaratnya, seperti nisab dan haul.

Kedua:

Ketika Nabi SAW mengutuskan Muaz bin Jabal ke Yaman, Nabi SAW berpesan kepadanya dengan sabda Nabi;

أَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ ، تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

Maksudnya;
”Ajarkan kepada mereka, sesungguhnya Allah telah memfardukan atas mereka sedekah pada harta mereka. Harta itu diambil daripada orang kaya dari kalangan mereka, dan diberikan kepada orang-orang fakir dari kalangan mereka
[1]

Dalam hadis ini, Nabi SAW menyuruh Muaz bin jabal mengutip zakat dari orang kaya. Hadis ini, nabi SAW sebut secara umum, tanpa membataskan, sama ada orang gila atau tidak.

Pendapat ini, menyalahi dengan pendapat yang dikemukakan oleh Imam Abu Hanifah. Imam Abu Hanifah berpendapat, orang gila tidak diwajibkan zakat, sepertimana tidak wajib mereka melakukan ibadat; seperti solat, puasa dan sebagainya.

Sandaran mereka adalah hadis;

أَنَّ الْقَلَمَ رُفِعَ عَنْ الْمَجْنُونِ حَتَّى يُفِيقَ وَعَنْ الصَّبِيِّ حَتَّى يُدْرِكَ وَعَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ

Maksudnya;
”diangkat qalam (tidak diambil kira) daripada tiga golonga; orang gila hingga dia sehat, daripada kanak-kanak hingga dia baligh, daripada orang tidur hingga dia sedar dari tidur
[2]

Pendapat Imam Abu hanifah ini dijawab balas oleh Jumhur. Menurut Jumhur, solat, puasa dan ibadat-ibadat yang seangkatan dengannya merupakan ibadat badaniyyah. Adapun zakat, ia merupakan hak maliyyah (hak berbentuk harta).

Apabila berbicara tentang hak maliyyah, sudah pasti perdebatan tentangnya agak berbeda. Ini kerana, apabila sesuatu harta telah dirosakan oleh seseorang gila, maka wajib harta tersebut digantikan oleh wali kepada orang gila tersebut. Keadaan ini tidak sama dengan ibadat yang lain seperti solat, yang mana, apabila mereka tidak solat, mereka tidak disuruh menggantikan solat tersebut.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
7 september 2009 * 5:16 pagi



[1] Al-Bukhari : 1395.
[2] Al-Bukhari.

KALAU KENA CARA, KITA AKAN MENANG


KALAU KENA CARA, KITA AKAN MENANG

Isu kuil di Shah Alam jadi hangat semalam. Dialog yang dianjurkan, tidak menjadi dialog, tetapi tempat melepas geram oleh sebilangan penduduk.

Unsur provokasi juga wujud, seperti seorang lelaki berambut panjang menarik kerusi yang hendak diduduk oleh seorang lelaki berbangsa india, menyebabkan lelaki india tersebut jatuh.(sila tengok youtube di atas)

Dua khalid hendak berbicara juga agak tidak kesampaian. Masakan hujjah, baru sahaja membuka mulut untuk berbicara, sebilangan penduduk berbangsa melayu riuh rendah kemarahan yang tidak bersulamkan rasional isu.

Cadangan pemindahan kuil, dihentam seperti keputusan yang telah tetap tidak boleh dirungkai. Sedangkan, sesuatu cadangan tidak semestinya diterima, malah boleh ditolak. Tolak atau terima sesuatu cadangan, boleh dibincangkan secara rasional, beserta sulaman konsep keadilan yang diperjuangkan oleh Islam.

Mahu disalahkan kepada penduduk pun, dirasakan agak tidak tepat. Mungkin mereka termakan provokasi UMNO yang maha jahat. Alangkah baiknya, jika sebelum cadangan itu dilotar, dialog terlebih dahulu dilakukan dengan penduduk melayu.

Apabila cadangan dilontar tanpa dilakukan dialog terlebih dahulu, menyebabkan ia boleh dispekulasikan oleh UMNO laknatullah alaihim ajmain. UMNO memang suka isu-isu sebegini, kerana ia boleh melahirkan perkauman di Malaysia.

Sejarah telah membuktikan, perkauman menjadi punca UMNO menjadi kuat. Apabila musuh politik mereka menjadi kuat, isu perkauman akan dijadikan senjata tajam untuk melemahkan kekuatan musuh UMNO.

Tetapi, jika dialog dengan penduduk didahulukan sebelum melontarkan cadangan, dirasakan ia tidak sehebat seperti yang terjadi pada hari ini. apabila penduduk telah bersetuju dengan cadangan yang diputuskan dalam dialog, sudah pasti UMNO tidak akan dapat menspekulasikan isu ini, kerana penduduk sudah bersama dengan kita. Jika dispekulasikan juga, ia sekadar spekulasi yang tidak mempunyai pengikut, tidak seperti yang terjadi pada isu kuil di shah alam.

Isu pemindahan kuil, memang ia merupakan isu prinsip keadilan yang diperjuangkan oleh islam. Tetapi, keadilan agak susah terlaksana jika kita tidak menggunakan cara yang terbaik untuk melaksanakan keadilan tersebut.

Nampaknya, isu kuil ini perlu dijadikan pengajaran kepada Pakatan Rakyat di selangor untuk bertindak dengan lebih bijak dalam melaksanakan sesuatu hak keadilan.

Sekian

Wallahu ’Alam

A-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), sg Buloh
6 september 2009 * 4:37 petang

UMNO NAK RAMPAS SELANGOR?

UMNO NAK RAMPAS SELANGOR?

Sebelum ini, Najib Tun Razak telah mengeluarkan kenyataan secara terbuka untuk merampas Selangor dari tangan Pakatan Rakyat. Pun begitu, teori rampasan tidak diketahui.

Baru-baru ini pula, Wong Shu Qi menimbulkan teori rampasan kuasa di Selangor dengan kaedah lompat, yang kononnya berlaku pada 16 september. Dalam artikle tersebut, dinamakan beberapa ADUN, termasuk dari PAS yang akan melompat. (sila Klik)

Artikle tersebut, ”dibakul sampahkan” oleh Roslan SMS, Ketua Penerangan PAS Selangor melalui blog beliau. (sila klik)

Rampasan kuasa mungkin boleh berlaku dengan teori ”lompat”, tetapi ”lompat” bukanlah satu-satunya teori untuk BN merampas kuasa di Selangor.

Mungkin UMNO boleh bermain tarik tali dengan sebilangan ADUN-ADUN melayu dari Pakatan Rakyat; dari PAS dan PKR untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap Tan Sri Khalid, MB selangor?

Kemungkinan juga, ada salah seorang ADUN dari PAS dicalonkan sebagai Menteri Besar dengan persetujuan ADUN-ADUN melayu dari Pakatan Rakyat bersama dengan ADUN-ADUN dari UMNO. Apabila ADUN PAS itu dilantik jadi Menteri Besar, maka berlakulah perang dalaman antara PAS, PKR dan DAP.

Apabila keadaan ini berlaku, teori rampasan kuasa bukan berlaku di saat ini, tetapi berlaku dalam secara demokrasi, iaitu dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Itu semua teori sahaja. Tidak tahu, betul atau tidak. Menjadi atau tidak. Benar atau tidak, tepat atau tidak? Ia sekadar kemungkinan yang disandarkan kepada maklumat-maklumat yang diberi.

Di saat ini, UMNO amat bimbang dengan banyak kelakuan, rahsia dan skandal mereka yang sedang berada di tangan Pakatan Rakyat. Kontraktor-kontraktor mereka juga agak susah untuk mendapat sebarang projek dalam kerajaan negeri, waimma mereka tetap dapat menerusi individu-individu tertentu.

Pada UMNO, kalau mereka tidak dapat merampas kuasa di selangor pun, sekurang-kurangnya kelakuan, rahsia dan skandal mereka mahu ditutup. Begitujuga, kontraktor-kontraktor mereka dapat cari makan sepertimana mereka memerintah selangor dahulu.

Justeru, mereka perlu mencipta seorang boneka yang datang dari ADUN Pakatan Rakyat sendiri untuk menutup kelakuan, rahsia dan skandal mereka, juga dapat memberikan keuntungan kepada kontraktor-kontraktor mereka.

Boneka ini akan digunakan untuk menjadi Menteri Besar Selangor sebagai ganti kepada Tan Sri Khalid. Dan seterusnya, perlantikan boneka itu akan melahirkan perpecahan antara Pakatan Rakyat. Apabila keadaan ini berlaku, amat mudah untuk mereka ”rembat” kerajaan negeri selangor dari tangan Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang.

Ini pun sekadar teori. Apakah benar atau tidak, apakah jadi atau tidak, apakah betul atau tidak. Tepat atau tidak? Ia sekadar kemungkinan yang disandarkan kepada maklumat-maklumat yang diberi. Semuanya diserahkan kepada Allah yang maha mengetahui.

Walaupun semua ini adalah teori, tetapi kesangsian terhadap sebilangan ADUN-ADUN PR sememangnya wujud dengan tindakan dan kenyataan mereka.

Diharapkan, ADUN-ADUN dari pakatan Rakyat tidak melakukan sebarang tindakan dan kenyataan yang boleh mensangsikan, kerana ia dibimbangi membenarkan teori-teori yang dikemukakan ini.

Malah, diharapkan juga, semua ini sekadar teori.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
6 september 2009 * 3:33 petang

Sabtu, 5 September 2009

SENSITIF AGAMA, ATAU SENSITIF PERKAUMAN??

SENTISITIF AGAMA, ATAU SENSITIF PERKAUMAN??

Kalau aku ditanya tentang cadangan pembinaan kuil di kawasan penempatan orang Islam, secara prinsipnya akan bersetuju. Tetapi, keizinan pembinaan tersebut perlu mempunyai syarat. Tujuan syarat diwujudkan, agar semua pihak akan mengambil sikap menghormati hak masing-masing, sepertimana yang ditekankan oleh islam.

Isu cadangan pemindahan kuil di seksyen 19 ke seksyen 23 menjadi isu orang melayu di selangor, malah sedang diperhatikan seluruh rakyat Malaysia. Isu mereka, adalah sensitif.

Dari sudut Islam, pembinaan rumah ibadat dikawasan penempatan orang Islam tidak menjadi perkara sensitif. Yang menjadi sensitifnya, apabila orang islam tidak memahami Islam, malah mempunyai tahap keyakinan terhadap Allah (aqidah) terlalu lemah. Lantaran itu, tidak hairan mereka akan mengaggapnya sebagai sensitif.

Mengapa ”takut murtad” yang dijadikan punca larangan pembinaan kuil di kawasan penempatan orang Islam? orang tidak akan jadi murtad kalau Iman mereka kuat, waimma kuil berada disebelah rumah sekalipun. Bermaksud, mereka akan mudah menjadi murtad, jika iman mereka lemah. Apabila iman mereka lemah, menandakan orang Islam yang ada, bukanlah orang Islam yang kuat.

Mengapa iman mereka lemah? Ini semua jasa UMNO yang memerintah Malaysia sejak sekian lama.

Justeru, apabila isu sensitif ditimbulkan dalam pembinaan kuil di seksyen 23, hakikatnya ia bukanlah isu sensitif agama, tetapi ia adalah sensitif yang melibat kepada perkauman.

Orang melayu ditanam sekian lama membenci orang india yang kebetulannya beragama hindu. Begitujuga terhadap orang cina yang kebetulannya dengan pegangan agama mereka.

Ini semua kerja UMNO laknatullah alaihim ajmain. Sejak merdeka, UMNO menanam doktrin perkauman kepada orang melayu. walaupun dilihat seperti mereka bersama dengan komponen BN, yang terdiri dari MCA yang mewakili cina dan MIC yang mewakili india, ternyata kewujudan mereka dalam konponen tersebut, dilihat bertoleransi pada padangan zahir sahaja, tetapi hakikatnya terkandung seribu satu api kebencian perkauman dalam sekam masyarakat malaysia.

Diluar dilihat mereka bersatu, tetapi dalam hati-hati mereka ternanam seribu satu kebencian terhadap antara satu bangsa dengan bangsa yang lain.

Percayalah, sampai satu masa, sekam masyarakat malaysia ini akan terbakar dengan api perkauman juga, yang akan dapat dilihat dengan mata kepala sesiapa sahaja. Malah, hari ini kita sudah dapat melihat keadaan tersebut.

Konsep pemikiran inilah yang disebut sebagai asobiyyah jahiliyyah. Pemikiran ini pasti akan melahirkan permusuhan, waimma dilihat diperingat awalnya seperti wujud keamanan. Ekoran itu ia ditentang hebat oleh Nabi SAW.

Sabda Nabi SAW ;

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ

Maksudnya ;
”bukan dari kalangan kami, mereka yang menyeru kepada asobiyyah. Bukan dari kalangan kami, mereka yang berperang atas dasar asobiyyah. Bukan dari kalangan kami, mereka yang mati atas dasar asobiyyah
[1]

Baca sama;
Prof Teo : Hubungan kaum di Malaysia adalah retorik.

Sekian

P/s : isu pemindahan kuil di Shah Alam telah membuktikan, UMNO lebih jahil tentang Islam berbanding DAP.

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com




[1] Sunan Abi Daud : 4456.

Khamis, 3 September 2009

SUAMI LARANG ISTERI ZIARAH KELUARGA?

SUAMI LARANG ISTERI ZIARAH KELUARGA?

SOALAN;

Benarkah ketaatan terhadap suami melebihi dari ketaatan terhadap ibu bapa?

JAWAPAN:

Seseorang isteri, tidak dinafikan mempunyai tanggungjawab terhadap kedua ibubapa. Melakukan tanggungjawab terhadap kedua ibubapa merupakan tuntutan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Firman Allah;

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya;
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”

(Surah Al-Isra’ : 23)

Pun begitu, setelah ijab dan kabul antara dua lelaki dan perempuan, maka sah antara kedua-dua itu sebagai suami isteri. Apabila seseorang perempuan sudah menjadi isteri, maka ketika itu, ketaatan terhadap suaminya perlu didahulukan berbanding terhadap ibubapanya.

DALIL-DALILNYA;

Pertama: Al-Quran

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Maksudnya;
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka”

(Surah An-Nisa’ : 34)

Kedua : hadis yang riwayatkan oleh Al-Bukhari;

لَا يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلَّا بِإِذْنِهِ وَلَا تَأْذَنَ فِي بَيْتِهِ إِلَّا بِإِذْنِهِ

Maksudnya;
“Tidak halal bagi seseorang perempuan itu berpuasa dalam keadaan suaminya tidak ke mana-mana, melainkan dengan izinnya. Tidak boleh seseorang perempuan mengizinkan orang masuk ke dalam rumahnya, melainkan mendapat keizinan dari suaminya
[1]

ISTIDLAL:

Dari kedua-dua dalil yang dikemukakan, menunjukkan kepada kita bahawa dalam perkara yang melibatkan kepada syahwat suami pun, isteri perlu memberikan ketaatan, maka terlebih utama isteri memberi ketaatan selain dari perkara yang melibatkan syahwat.

Justeru, ketaatan terhadap suami melebihi dari ketaatannya terhadap ibubapanya sendiri. Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Imam ahmad dalam kitab Syarh Muntaha Al-Iradah
[2].

Ini dikuatkan lagi dengan satu hadis yang telah meriwayatkannya oleh Al-Hakem, lalu disahehkannya. Begitujuga, riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang hasan bahawa Aisyah R.Ha bertanya kepada Rasulullah SAW;

أي الناس أعظم حقا على المرأة قال زوجها قلت فأي الناس أعظم حقا على الرجل قال أمه

Maksudnya;
“Manusia yang manakah yang besar haknya atas perempuan?”. Menjawab Nabi SAW; “suaminya”. Berkata Aisyah; “manusia yang manakah yang besar haknya terhadap lelaki?” menjawab Nabi SAW; “ibunya
[3]

Malah, seseorang perempuan yang mentaati suaminya menyebabkan dia mendapat ruang yang cukup untuk masuk ke syurga Allah SWT.

Sabda Nabi SAW;

إذا صلت المرأة خمسها و صامت شهرها و حصنت فرجها و أطاعت زوجها قيل لها : ادخلي الجنة من أي أبواب الجنة شئت

Maksudnya;
“Apabila seseorang perempuan itu solat lima waktu, berpuasa pada bulan ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya, maka katakanlah kepadanya, masuklah kamu ke dalam syurga daripada mana-mana pintu yang kamu mahu
[4]

HUBUNGAN KEKELUARGAAN

Adalah baik jika isteri tersebut bersekali dalam melakukan ketaatan terhadap suami dan ibubapanya. Jika cara ini diambil, sudah pasti ia tidak melahirkan sebarang kemusykilan dan masalah.

Tidak dinafikan, antara tuntutan Allah SWT terhadap suami dan isteri adalah melakukan kebaikan dan hubungan silaturahim dengan keluarga dan mertua masing-masing. Pun begitu, melakukan kebaikan terhadap ibubapa dan mertua, tidak semestinya dengan menziarahi mereka, malah sudah dikatakan melakukan kebaikan dan mengadakan hubungan silaturahim kepada mereka dengan berhubung menerusi telefon, berutusan surat, e-mail dan sebagainya.

Adapun sekiranya berlaku masalah dalam hubungan kekeluargaan, seperti dengan campur tangan mertua dan ibu bapa akan melahirkan masalah pada keselamatan dan keamanan rumah tangga, maka ketika itu, si isteri hendaklah mentaati perintah suaminya. Apabila suami melarang dari menziarahi keluarganya, maka hendaklah perintah suami itu dipatuhi. Melanggari perintah suami, maka si isteri tersebut sudah boleh dikira sebagai perempuan yang derhaka.

ISYKAL

PERTAMA:

Apakah dikira sebagai dosa, jika tidak menziarahi ibu bapa disebabkan tidak mendapat keizinan dari suami?

JAWAPAN:

Tidak dikira sebagai dosa jika tidak menziarahi ibu bapa disebabkan tidak mendapat keizinan dari suami. Perkara ini disandarkan kepada satu hadis dengan sanad yang agak lemah, iaitu hadis berikut;

كان رجل قد خرج إلى سفر وعهد إلى امرأته أن لا تنزل من العلو إلى السفل وكان أبوها في الأسفل فمرض فأرسلت المرأة إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم تستأذن في النزول إلى أبيها ، فقال صلى الله عليه وسلم " أطيعي زوجك " فمات فاستأمرته فقال " أطيعي زوجك " فدفن أبوها فأرسل رسول الله صلى الله عليه وسلم إليها يخبرها أن الله قد غفر لأبيها بطاعتها لزوجها

Maksudnya;
“seorang lelaki yang keluar bermusafir. Dia telah berpesan kepada isterinya bahawa jangan turun dari tingkat atas kepada tingkat bawah. Bapa isterinya itu tinggal di tingkat bawah. Bapanya ditimpa sakit. Isterinya itu telah mengutuskan seorang perempuan kepada Rasulullah SAW agar memberi keizinan kepadanya turun untuk menziarahi bapanya yang sedang sakit. Nabi SAW bersabda; ”taatilah suami kamu”. Kemudiannya, bapanya meninggal dunia, lalu dia mengutuskan lagi kepada Rasulullah. Nabi SAW bersabda : ”taatilah suami kamu”. Jenazah bapanya dikebumikan. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan seseorang kepada si isteri untuk diberitakan bahawa Allah telah mengampunkan dosa bapanya disebabkan ketaatannya terhadap suaminya
[5]

KEDUA:

Jika suami tidak membenarkan juga menziarahi ibu bapa, sedangkan ibu bapa tidak pernah pun menjadi punca berlaku masalah rumah tangga. Apakah boleh si isteri pergi ziarah juga, tanpa mendapat keizinan dari suami?

JAWAPAN;

Sepertimana yang telah dimaklumkan di atas, ketaatan terhadap suami perlu didahulukan berbanding ketaatan terhadap ibu bapa. Justeru, apabila seseorang isteri telah menziarahi ibubapanya tanpa keizinan suami, tindakan tersebut boleh mengakibatkan isteri tersebut diisytihar sebagai isteri yang derhaka.

Isteri yang derhaka, susah untuk masuk ke syurga, kerana Nabi SAW ada bersabda;

أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَنْهَا رَاضٍ دَخَلَتْ الْجَنَّةَ

Maksudnya;
“Mana-mana perempuan yang mati, dalam keadaan suaminya sentiasa reda dengannya. Makanya, dia akan masuk syurga
[6]

Dari hadis ini, Nabi SAW menyatakan isteri yang mati dalam keadaan suaminya reda dengan kehidupannya semasa hidup bersama, isteri tersebut ditentukan syurga oleh Allah. Sebaliknya, jika isteri tersebut mati dalam keadaan suaminya tidak reda dengannya, disebabkan beberapa tindak tanduk, dan perangainya yang tidak menyenangkan hati suami, maka isteri tersebut ditentukan neraka oleh Allah SWT.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
3 september 2009 * 5:22 petang



[1] Sahih Al-Bukhari : 4796.
[2] Syarh Muntaha Al-Iradah : 3/47.
[3] Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain : 7353.
[4] Sahih Al-Jami’ : 660.
[5] Takrij Ahadis Al-Ihya’ li Al-Iraqi : 1551.
[6] Sunan At-Tarmizi : 1081, sunan Ibni Majah : 1844.

Selasa, 1 September 2009

RUMAH IBADAH NON MUSLIM DALAM PENEMPATAN MUSLIM??

toleransi sesama manusia yang berbeda agama dan bangsa merupakan tuntutan Islam


RUMAH IBADAH NON MUSLIM DALAM PENEMPATAN MUSLIM??

Apabila terbentuk kerajaan, banyak perkara yang perlu difikirkan. Sebagai orang islam yang memegang sesuatu tampuk pemerintahan kerajaan, hak yang hendak diberikan tidak sekadar diberikan kepada muslim sahaja, malah kepada non muslim juga wajib diberi.

Dalam islam, memberikan keadilan kepada sesiapa sahaja adalah tuntutan agama. Bermakna, jika melakukan kezaliman, ia merupakan satu dosa yang besar, hatta terhadap non Muslim sekalipun.

Firman Allah;

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya;
”Allah tidak melarang kamu melakukan kebaikan dan keadilan terhadap mereka yang tidak menyerang kamu pada agama dan tidak mengeluarkan kamu daripada negara kamu. Sesungguhnya Allah suka orang yang melakukan keadilan”

(Surah Al-Mumtahanah : 8)

Dari ayat ini, kita dapat melihat bagaimana Allah amat mementingkan keadilan yang perlu dilakukan terhadap sesiapa sahaja, waimma terhadap non Muslim.

RUMAH IBADAT

Antara hak keadilan yang diberikan oleh islam adalah, hak rakyat dari kalangan non Muslim beribadat. bermaksud, apabila non Muslim memohon untuk membina rumah ibadat mereka, sebagai kerajaan islam, permohonan mereka perlu dilayan.

Pun begitu, dalam memberikan layanan terhadap permohonan mereka terdapat beberapa perbahasan, iaitu seperti berikut;

Pertama : PENEMPATAN NON MUSLIM

Menurut Malikiyyah, dibenarkan mereka membina tempat peribadatan mereka, sekiranya di situ bukan penempatan orang islam.

Pendapat ini disokong oleh Imam Al-Kasani dalam kitabnya yang bertajuk “Badai As-Sanai” dan sebilangan lagi dikalangan ulama bermazhab hanafi.

Justeru, apabila non Muslim memohon sesuatu tapak yang hendak dijadikan rumah ibadat mereka. Tapak tersebut adalah penempatan non Muslim, maka pihak kerajaan hendaklah memberikan keizinan terhadap permohonan tersebut.

Tindakan tidak memberikan keizinan kepada mereka tanpa sebab-sebab yang munasabah merupakan tindakan yang zalim yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Kedua : PENEMPATAN ORANG ISLAM

Sekiranya didapati di suatu tempat itu adalah kawasan orang islam, tetapi didapati juga manoriti orang non muslim yang memohon untuk membina tempat ibadat mereka di situ. Dalam hal ini, Imam Ibnu Qasim yang bermazhab Maliki membenarkannya, tetapi bersyarat, iaitu hendaklah mendapat keizinan dari pihak pemerintah terlebih dahulu
[1].

ZAHIRKAN SYIAR AGAMA

Apabila diberikan hak mereka membina rumah-rumah ibadat, maka lahir pula perbincangan, iaitu berkenaan dengan menzahirkan syiar agama mereka.

Ulama sepakat menyatakan bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja syiar agama mereka dalam tempat ibadat mereka. Adapun di luar tempat ibadat, ulama berselisih dalam hal ini. Sebilangan ulama membenarkan mereka menzahirkan syiar mereka di luar tempat ibadat. Ulama yang membenarkan itu adalah Al-Kasani dengan katanya;

فِي الْقُرَى أَوْ فِي مَوْضِعٍ لَيْسَ مِنْ أَمْصَارِ الْمُسْلِمِينَ فَلَا يُمْنَعُونَ مِنْ إحْدَاثِ الْكَنَائِسِ وَالْبِيَعِ ، كَمَا لَا يُمْنَعُونَ مِنْ إظْهَارِ بَيْعِ الْخُمُورِ وَالْخَنَازِيرِ

Maksudnya;
“Dalam negeri atau tempat yang bukan tempat orang islam, tidak ditegah mewujudkan gereja dan Biya’ (gereja yahudi), sepertimana tidak ditegah menjual arak dan babi
[2]

Keizinan yang dinyatakan ini, sekiranya tempat itu adalah kawasan penempatan orang non muslim. Adapun pada penempatan orang islam, maka itu di larang. Ini ditegaskan oleh Al-Qurafi.

Dalam mengulas isu ini, Dr Abdul Karim Zaidan berpendapat, larangan ulama dengan menegah zimmi menzahirkan syiar agama mereka di luar gereja di penempatan orang islam adalah kerana hendak menjaga maslahat umum bagi negara Islam.

Maka dengan itulah, Ulama tidak pernah melarang mereka menzahirkan syiar agama mereka di penempatan yang terdiri dikalangan mereka sahaja.

Keadaan ini dilihat kepada kejadian yang berlaku pada zaman Khalid bin Al-Walid yang membenarkan Ahl ’Anat menzahirkan syiar agama mereka di penempatan mereka.

Dalam pada itu, Dandal Jabar, penulis kitab Al-Aqalliyat Ghair Al-Muslimah fi Mujtama’ Al-Islami menyatakan, pemerintah Islam boleh membenarkan kepada Ahl Zimmah menzahirkan syiar agama mereka di penempatan orang Islam dan selainnya, itupun hendaklah aman dan terselamat dari fitnah
[3].

Hal ini diakui oleh kebanyakan ulama fiqh, yang mereka menyebut;

حريتهم فى اللباس و الطعام و الشراب بشرط عدم استثارة شعور المسلمين أو أشعارهم بالتحدي أو أن يكون ذلك مؤديا إلي الفتنة و الفساد
Maksudnya;
“Kebebasan mereka (non muslim) pada pakaian, makanan dan minuman dengan syarat tidak terkesan pada syiar orang islam, ataupun syiar mereka tidak mencabar syiar Islam atau kebebasan mereka itu tidak membawa kepada fitnah dan kebinasaan
[4]

ISYKAL

PERTAMA:

Pembinaan rumah ibadat di kawasan muslim merupakan tindakan yang tidak menghormati sensitiviti orang islam?

JAWAPAN

Jika dipegang betul-betul dengan ajaran islam, soal sensitiviti dalam isu rumah ibadat non Muslim dikawasan muslim tidak menjadi isu yang penting. Semua ini akan berjaya diselesaikan, jika berpegang dengan prinsip toleransi dan hormat menghormati yang sememangnya diajar dalam ajaran islam.

Ketika melakukan ibadat, pihak non Muslim pula perlu menghormati hak penduduk muslim. begitujuga pihak muslim perlu menghormati hak penganut-penganut agama lain ketika melakukan ibadat.

Justeru, bagi mengatasi masalah ini, sebelum pihak kerajaan memberi izin pembinaan rumah ibadat non Muslim dikawasan muslim, pihak kerajaan perlu meletakkan syarat-syarat yang ketat agar ia tidak melahirkan masalah di masa akan datang.

KEDUA:

Ditempat tersebut sudah terdapat banyak rumah-rumah ibadat yang mewakili agama masing-masing. Jika dilihat dari rumah ibadat yang ada, ia sudah memadai. Bagaimana pula jika diberi tambah lagi?

JAWAPAN

Keizinan pihak kerajaan membina rumah-rumah ibadat hendaklah dengan tujuan keperluan, bukanlah untuk berlebih-lebihan.

Sekiranya ada permohonan dari pihak non Muslim untuk membina sesuatu rumah ibadat mereka. Permohonan itu bukanlah satu keperluan, tetapi untuk penambahan lagi rumah-rumah ibadat, maka ketika itu, pihak kerajaan adalah dilarang sama sekali meluluskan permohonan tersebut.

Larangan ini, bukan sekadar terhadap permohonan non Muslim untuk pembinaan rumah-rumah ibadat mereka, malah permohonan untuk pembinaan masjid dan surau dengan tujuan berlebih-lebihan pun dilarang.

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya;
”Wahai orang-orang yang beriman. Janganlah kamu haramkan perkara yang baik, yang Allah halalkan kepada kamu. Dan jangan kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas”

(Surah Al-Maidah : 87)

Nabi SAW ada menyebut sebanyak tiga kali;

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ

Maksudnya;
”kebinasaan bagi orang yang berlebih-lebihan
[5]

PENUTUP

Islam tidak menafikan hak manusia. Menafikan hak merupakan tindakan zalim, sedangkan kezaliman adalah perkara yang ditentang hebat oleh Islam.

Justeru, lihatlah islam dari sudut keadilannya, bukan dilihat dari sudut sentimen dan persepsi golongan tertentu. Jika islam dilihat dari sudut persepsi atau sentimen manusia tertentu, sudah pasti islam tidak dapat dinilai sebagai adil di mata dan hati manusia.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
1 september 2009 * 6:53 petang



[1] Al-Aqalliyat Ghair Al-Musallamah fi Mujtama’ Al-Islami : m.s 292
[2] Badai As-Sanai : 15/240
[3] Al-Aqalliyat Ghair Al-Musallamah fi Mujtama’ Al-Islami: m.s. 302
[4] Al-Aqalliyyat Ghair Al-Musallamah : m. s 395.
[5] Sahih Muslim : 4823.