Ahad, 10 Januari 2010

ISU KALIMAH ALLAH : MENJAWAB ULASAN DR SIDDIQ DAN DR KHALIF MUAMMAR.


ISU KALIMAH ALLAH : MENJAWAB ULASAN DR SIDDIQ DAN DR KHALIF MUAMMAR.

Sebelum ini, Dr Siddiq fadzil telah mengemukakan pendapat tentang isu pengunaan kalimah Allah (sila klik). Begitu juga, Dr Khalif Muammar telah mendatangkan pendapatnya menerusi blog Rausyanfikir (sila Klik).

Di sini, dipaparkan jawapan terhadap ulasan dua tokoh ulama tersebut;

PERTAMA:

Dr Siddiq Fadzil mengatakan, kalimah "Allah" tidak boleh diberikan kepada non Muslim dengan alasan "'uruf Al-Balad" Malaysia yang tidak boleh disamakan dengan "uruf Al-balad" di Negara arab.

JAWAPAN:

Al-Hukmu terbahagi kepada dua, (1) Al-hukmu Lizatih, (2) Al-hukmu li ghairih. Setiap hokum, wajib dilaksanakan, tetapi apabila wujud beberapa perkara yang menghalang, maka ia terpaksa ditangguh sementara waktu.

Seperti contoh, perlaksanaan hokum hudud. Ia wajib dilaksanakan tanpa syak lagi. Pun begitu, apabila wujud "penghalang", maka ia terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu, sehingga "penghalang" tersebut hilang. Apabila hilang "penghalang", maka hokum hudud wajib dilaksanakan.

Wajibnya melaksanakan hokum hudud adalah Al-hukmu lizatih. Dan tertangguh perlaksanaan hudud disebabkan wujud "penghalang" disebut sebagai Al-hukmu Lighairih.

Al-hukmu lighairih ini, didebatkan dalam ilmu Siyasah Syariiyyah. Antara kandungan ilmu Siyasah Syariiyyah adalah "Al-'Urf".

"Al-'Urf" tidak bersifat kekal, bahkan ia bersifat berubah-rubah. Seperti, apabila 'Uruf masyarakat tidak memahami hudud, yang jika dilaksanakan boleh melahirkan mudharat yang lebih besar, seperti pernolakan terus terhadap hokum Islam, maka ia wajib ditangguh terlebih dahulu.

Pun begitu, ia tidak boleh diabaikan. Bahkan, usaha untuk menghilangan "uruf" masyarakat yang tidak memahami hokum hudud perlu dilakukan. Iaitu, mengubah "uruf" masyarakat, agar menjadi "uruf" Al-Quran.

Bermakna, "Uruf Ahl Al-balad", bukan bersifat kekal, sebaliknya ia digunakan untuk sementara waktu, demi menyelesaikan kefahaman rakyat sehingga rata-rata menerima hokum hudud. Apabila rakyat sudah faham hudud, ketika itu, 'uruf ahl-balad itu perlu merujuk terus kepada Al-Quran, iaitu perlaksanakan hudud wajib dilakukan.

Hujjah yang sama juga digunakan dalam isu kalimah "Allah". Ia tidak dilaksanakan dengan alasan "uruf Al-balad" adalah tidak tepat, kerana 'uruf Ahl-Balad Malaysia di tahun 80-an dengan 'uruf Al-balad malaysia di tahun 2010 amat berbeda.

Dalam Al-Quran, secara jelas telah mengizinkan kepada Non Muslim menggunakan Kalimah "Allah". Tetapi, sebelum ini ia tidak dibenarkan dengan alasan 'uruf Ahl-Balad. Pun begitu, kita tidak boleh redha dengan "'uruf Ahl-balad", tanpa memberi kefahaman terhadap keizinan yang diberikan menerusi Al-Quran. Apabila rakyat sudah faham, barulah keizinan itu dilaksanakan.

Persoalannya, apakah "uruf Ahl-balad" Malaysia pada hari ini terhadap penggunaan kalimah Allah? Apakah sememangnya rakyat menerima, atau ia sengaja dicipta oleh golongan tertentu, agar ia tidak diterima?

KEDUA:

Dr Khalif Muammar berkata;

Orang bukan Islam di Malaysia tentunya bukan orang Arab. Dari sini sahaja dapat disimpulkan bahawa penggunaan nama Allah bagi orang bukan Islam di Malaysia tidak relevan kerana mereka tidak pernah menggunakannya bahkan tidak mengerti pun maksudnya. Orang bukan Islam di Malaysia tidak mengenal bahasa Arab, maka perkataan Allah adalah perkataan yang asing dalam kehidupan mereka.

JAWAPAN:

Al-Quran itu tidak diturunkan kepada bangsa arab sahaja, bahkan ia diturunkan kepada manusia seluruhnya.

Sabda nabi SAW;

وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ كَافَّةً

Maksudnya;
"nabi dibangkitkan kepada kaumnya sahaja, dan aku dibangkitkan kepada manusia seluruhnya
[1]"

Jika kita membataskan al-Quran itu kepada bangsa-bangsa tertentu, bukankah kita telah membataskan Al-Quran kepada orang arab sahaja?

Penggunaan kalimah Allah di tanah arab tidak dibataskan kepada orang islam sahaja, bahkan digunakan juga kepada orang bukan islam. malahan, tindakan orang-orang bukan islam yang menggunakaan kalimah Allah ini pun, tidak sama sekali terlarang menerusi nas syarak.

KETIGA:


Dr Khalif Muammar berkata;

Tidak sepatutnya timbul pernyataan apa salahnya orang bukan Islam menyebut nama Allah kalau yang dimaksudkan itu benar. Mereka boleh sahaja menyebut, membaca, nama Allah yang menjadi persoalan di sini adalah penggunaan istilah yang sama / pemberian nama yang sama bagi Tuhan yang berlainan.

JAWAPAN:

Penurunan seluruh ayat-ayat Al-Quran berlaku pada zaman nabi SAW. Bahkan, dalam al-Quran sendiri ada menyebut;

وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ

Maksudnya;
"berkata yahudi, Uzair adalah anak Allah, dan berkata Nasara, Isa adalah anak Allah"

(Surah At-taubah : 30)

Ayat ini secara jelas menyatakan, bahawa Allah SWT sendiri mengakui kesesatan yahudi dan nasrani dalam pemahaman mereka terhadap penggunaan "Kalimah Allah" yang berlaku di zaman itu.

Ini membuktikan, penggunaan kalimah Allah di kalangan orang yahudi dan nasrani di zaman nabi sudah tidak merujuk kepada kalimah Allah yang sebenar. Ia sama Sepertimana, orang yahudi dan nasrani di zaman ini memahami Allah tidak sepertimana difahami oleh orang islam.

Apakah kita mengatakan yahudi dan nasrani di zaman nabi itu betul? Apakah kefahaman makna Allah di sisi yahudi dan nasrani ketika itu, sesuai dengan kehendak Nabi SAW?

Jika kita mengatakan "Ya", apa perlunya Nabi SAW menyeru mereka kepada tauhid?

KEEMPAT:

Dr Khalif Muammar berkata:

Sesetengah orang Islam yang keliru dalam menanggapi isu ini berhujah bahawa dalam al-Qur’an ada disebutkan bahawa orang Yahudi mendakwa ‘Uzair itu anak Allah’, dan orang Nasrani mendakwa bahawa ‘al-Masih itu anak Allah’ (lihat surah al-Tawbah: 30). Sebenarnya jika diperhatikan dengan teliti dan dengan mengambil kira perbezaan bahasa, yang mereka katakan sebenarnya tidaklah betul-betul sama seperti itu, kerana dalam bahasa mereka, iaitu bahasa Ibrani, perkataan yang mereka gunakan sebenarnya adalah Uzair itu anak Tuhan (Yahweh/ Elohim), dan al-Masih itu anak Tuhan (Yahweh/ Elohim), tidak ada perkataan Allah dalam bahasa mereka. Al-Qur’an sebenarnya menterjemahkan kata-kata mereka yang tentunya bukan dalam bahasa Arab tetapi dalam bahasa mereka sendiri, iaitu Ibrani, untuk difahami oleh orang Arab atau orang Islam. . Oleh kerananya perkataan yang digunakan adalah Allah kerana Allah dari segi bahasa adalah Tuhan. Penggunaan dalil seperti ini oleh golongan ini menunjukkan sikap yang sembrono dan kurangnya kehati-hatian.

JAWAPAN:

Tidak dinafikan, memang kefahaman "Allah" dari sudut islam tidak sama dengan orang yahudi dan nasrani. Pun begitu, tidak sama kefahaman terhadap Allah ini bukan berlaku di zaman kini sahaja, bahkan berlaku juga di zaman nabi SAW.

Jika dalam Al-Quran mengizinkan penggunaan kalimah Allah kepada non Muslim, waima berbeda kefahaman antara muslim dan non Muslim tentang Allah, mengapa perlu dihalang di zaman kini, walhal berbeda kefahaman antara Muslim dan non Muslim tentang kalimah Allah adalah sama?

Kalau dikatakan bahawa di zaman nabi SAW, Al-Quran menterjemah tuhan Yahweh/ Elohim, Tuhan Yahweh/ Elohim dengan Allah, mengapa di zaman kini, Al-Quran tidak boleh menterjemah Allah dengan Yahweh/elohim, Yahweh/elohim (disisi kefahaman mereka)?

Yang pastinya, sejak bila yahudi dan nasrani menggunakan kalimah Allah pada tempat yang betul?

KELIMA:

Dr Khalif Muammar berkata;

Sememangnya Allah adalah Tuhan semua nabi dan rasul. Tetapi Allah bukanlah Tuhan yang disembah oleh orang Yahudi dan Nasrani. Dengan penyelewengan yang berlaku dalam agama tersebut mereka tidak lagi beriman kepada Allah. Jadi mereka tidak boleh mendakwa diri mereka beriman kepada Allah

JAWAPAN:

Selagi yahudi dan nasrani mendakwa bahawa Allah itu ada anak, maka selagi itu mereka tidak boleh mendakwa bahawa mereka menyembah Allah yang disembah oleh orang islam.

Allah mereka lain, dan Allah umat islam adalah lain. Allah umat Islam adalah Allah yang maha esa, adapun Allah agama yahudi dan nasrani adalah tuhan yang ada anak.

Pun begitu, apakah perbedaan kefahaman maksud "Allah" antara Muslim dengan yahudi dan nasrani menyebabkan kita boleh menghalang mereka menyebut kalimah Allah?

KEENAM:

Dr Khalif Muammar berkata;

Untuk memahami dengan baik ayat-ayat al-Qur’an berkaitan nama Allah, perlu difahami terlebih dahulu bahawa dalam al-Qur’an ada dua bentuk penggunaan perkataan Allah, pertama yang umum merujuk kepada maknanya dari segi bahasa; kedua yang khusus merujuk kepada penggunaannya secara teknikal (istilahi). Hal ini tidak ekslusif pada kalimah Allah sahaja tetapi juga kalimah-kalimah lain seperti solat, bahkan kufur juga. Penggunaan yang umum biasanya merujuk kepada masyarakat bukan Islam. Sedangkan penggunaan yang khusus merujuk kepada pemahaman masyarakat Islam yang telah dibentuk akidah mereka. Penggunaan yang khusus lebih banyak daripada penggunaan yang umum, ini selaras dengan banyaknya ayat-ayat yang turun merujuk kepada tahap intensif Islamisasi. Tahap Islamisasi yang intensif sebenarnya berlaku di Makkah lagi apabila konsep-konsep mendasar dan penting dijelaskan dengan panjang lebar. Dalam konteks inilah ayat-ayat seperti dalam surah al-Ikhlas, al-Kafirun, ayat Kursi dll. diturunkan agar konsepsi yang jelas tentang Tuhan dapat difahami dan dihayati oleh kaum Muslimin.

JAWAPAN:

Mengapa perlu didebatkan tentang kalimah Allah dari sudut bahasa dan istilah. Lainlah kalau didebatkan beda antara kalimah "ilah" dengan "Allah".

Dari sudut bahawa, Ilah adalah kalimah nakirah yang memberi maksud tuhan (secara umum). Adapun kalimah "Allah" (iaitu masuk Alif dan lam – Ma'rifah), ia memberi maksud tuhan yang maha esa.

Pemahaman kalimah Allah yang merujuk kepada maksud surah al-ikhlas, Al-kafirun dan sebagainya, tidak boleh menjadi dalil atas larangan non Muslim menggunakan kalimah Allah dalam bentuk kefahaman mereka.

Yang dapat dilihat, nabi SAW sudah berusaha hendak menjelaskan kepada mereka tentang maksud kalimah Allah dalam bentuk yang sebenar menerusi firman Allah dari surah Al-ikhlas dan Al-kafirun.

Persoalnya, apakah kita telah lakukan sepertimana yang dilakukan oleh nabi SAW? Mungkin kita melebihi nabi SAW? Nabi tidak halang, tetapi kita halang.

KETUJUH:

Dr Khalif Muammar berkata;

Perlu dijelaskan bahawa tidak semua persoalan perlu ditanyakan apakah dalilnya, jika ada nas maka barulah sesuatu dapat diperkatakan jika tidak maka ia hanyalah pandangan yang relatif, boleh ditolak atau diterima. Hakikatnya selain nas, ada ilmu yang diwariskan oleh para ulama. Inilah yang dimaksudkan bahawa ulama itu pewaris nabi. Bahawa mereka itu mewariskan ilmu yang diperolehi oleh nabi (hadith). Kelebihan ilmu ini jugalah yang membezakan si jahil dengan orang alim. Orang jahil boleh sahaja berhujah dengan ayat dan hadith tetapi dia tidak tahu pasti bagaimana ayat dan hadith itu difahami dan digunakan.

Kita tahu bahawa ayat-ayat al-Qur’an terhad dan permasalahan yang timbul sentiasa bertambah. Seorang mujtahid, ulama atau pemikir, perlu dapat memberikan jawapan bagi setiap persoalan berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadith yang terhad itu. Di sinilah letaknya kedinamikan Shari’ah, sehingga ia sesuai diterapkan sepanjang masa. Mereka harus dapat merumuskan prinsip-prinsip baik tersurat mahupun tersirat daripada al-Qur’an dan Sunnah. Berdasarkan prinsip-prinsip inilah mereka cuba menyelesaikan permasalahan-permasalahan yang timbul. Oleh itu kemampuan yang perlu ada pada seorang mujtahid bukanlah mengeluarkan ayat-ayat atau hadith dalam menanggapi sesuatu persoalan tetapi kebijaksanaan yang terbit dari kefahamannya yang mendalam terhadap al-Qur’an dan Sunnah serta karya-karya ulama terdahulu (al-Turath).

JAWAPAN :

Ulama yang sebenar adalah, ulama yang apabila berhujjah pasti akan merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah dengan menggunakan alat-alat dalam rujukan. Kefahaman bahasa arab, nahu, sorof, usul fiqh, mantiq, balaghah dan sebagainya merupakan alat yang sangat penting dalam memahami nas.

Ulama tidak mempunyai wewenang dalam mengeluarkan hokum tanpa merujuk kepada sumber Al-Quran dan As-Sunnah. Hatta dalam perkara ijmak dan Qiyas pun, berhajat kepada pendapat-pendapat ulama yang bersumber kepada Al-Quran dan As-sunnah. Inilah yang sebenarnya terkandung dalam turath islami.

Jika ada ulama yang berhujjah dengan tidak merujuk kepada sumber Al-Qurn, maka itu bukan ulama pewaris nabi. Ulama pewaris nabi adalah, ulama yang mewarisi ilmu Al-Quran dan As-Sunnah.

Sumber hokum adalah Al-Quran dan As-Sunnah, bukannya pendapat ulama yang tidak bersandarkan kepada Al-Quran dan As-sunnah.

Tidak dinafikan, sememangnya wujud permasalahan yang terhad dalam masyarakat, tetapi ia bukan bermakna ulama perlu mengatakan sesuatu itu halal dan haram tanpa merujuk kepada sumber Al-Quran dan As-Sunnah. Lantaran itulah, timbul perdebatan tentang qiyas; iaitu, mengqiaskan sesuatu isu yang wujud dalam masyarakat dengan nas-nas Al-Quran dan Al-hadis, juga ijtihad para sahabat yang terdahulu.

Perlu difahami, Ulama bukan sember hokum, tetapi sumber hokum adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Ulama sekadar manusia yang menjelaskan sahaja apa yang terkandung dalam wahyu.

KELAPAN:

Dr Khalif Muammar berkata;

Malangnya hari ini yang berpandukan kepada kewujudan dalil bukan hanya orang awam tetapi mereka yang mendabik diri mereka ulama. Mereka mencari dalil, walhal ini adalah persoalan baru yang memerlukan pemikiran yang mendalam. Sepatutnya yang ditanyakan bukan apakah dalilnya tetapi apakah hujahnya? Ketika suatu persoalan itu tidak ada dalil yang qat’i mengenainya tidak bermakna kita tidak memiliki hak untuk memberikan kata putus dalam hal tersebut.

JAWAPAN:

Didalam memahami nas, ia memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap alat memahami nas. Isu kalimah "Allah" bukan perkara yang tidak ada nas, bahkan wujud nas yang mengizinkannya.

Mengemukakan dalil merupakan perkara utama dalam berhujjah. Jika berhujjah tanpa dalil, itu bukan berhujjah, tetapi itu mencipta alasan.

Seorang yang menuduh seorang berzina, wajib dikemukakan dalil (bukti). Tetapi, jika dia berkata, "bukti tak ada, tapi dia selalu berjalan dengan perempuan", menandakan dia bukan sedang berhujjah, tetapi sedang mencipta alasan.

KESEMBILAN:

Dr Khalif Muammar berkata;

Oleh kerana itu dalam persoalan nama Allah ini ulama fiqh bukan pakarnya. Mereka terbiasa dengan pencarian dalil dalam mengistinbatkan hukum. Ini persoalan usuluddin atau ilmu tawhid. Seseorang yang ingin membahas isu ini perlu menguasai teologi, ilmu kalam, epistemologi Islam, falsafah Islam dan metafizik Islam. Persoalannya bukan apakah hukumnya halal atau haram tetapi lebih penting dari itu apakah kesannya terhadap akidah seorang Muslim?

JAWAPAN:

Ulama tauhid telah membahaskan tentang maksud Allah yang sebenar, iaitu keesaan Allah. Mereka juga telah membahaskan tentang konsep ketuhanan dari sudut agama yahudi dan nasrani itu. Maka itu adalah tugas ulama tawhid.

Adapun persoalan, apakah keizinan penggunaan kalimah Allah terhadap non Muslim, ia bukan lagi isu tawhid, tetapi ia adalah isu fiqh.

Ketika itu, ulama tawhid tidak boleh "cakap banyak", bahkan Ulama tawhid perlu menyerahkan hak itu kepada ulama Fiqh.

Dalam isu kesan terhadap penggunaan kalimah Allah kepada non Muslim, ia perlu dirujuk kepada ulama fiqh, bukan merujuk kepada ulama tawhid lagi. Ini kerana, dalam fiqh, ada didebatkan satu tajuk yang disebut sebagai "Fiqh Maalat At-tatbiq", atau diterjemah sebagai "fiqh risiko dalam perlaksanaan".

KESEPULUH:

Dr Khalif Muammar berkata;

Bahkan golongan ekstrimis yang banyak melakukan keganasan juga menggunakan ayat al-Qur’an yang menyuruh membunuh orang kafir tanpa memahami konteksnya dan dalam keadaan apa ayat itu berlaku. Semua pendekatan ini sangat bersalahan dengan suruhan al-Qur’an dan di samping itu akan memberi kesan negatif kepada kebijaksanaan orang Islam.

JAWAPAN:

Memang wujud golongan ekstrimis yang menggunakan ayat Al-Quran dalam melakukan keganasan. Pun begitu, bukan bermakna kita hendak berbicara tentang keizinan dan larangan terhadap Non Muslim menggunakan kalimah Allah dengan tidak merujuk kepada Al-Quran.

Cumanya, perdebatan tentang isu ini, perlu merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah dengan cara yang betul, disamping mampu membuktikan keadilan yang sememangnya wujud dalam Al-Quran.

KESEBELAS:

Dr Khalif Muammar berkata;

Kelompok yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan nama Allah kemudian mengenakan syarat kepada orang bukan Islam supaya tidak menyalahgunakan kebenaran tersebut untuk mengkristenkan orang Islam. Ada juga yang memberikan panduan bagaimana orang bukan Islam menggunakan nama Allah. Justeru ini membuktikan adanya kecelaruan (incoherency) dalam cara berfikir mereka.

Pertama sekali tidak ada alasan orang bukan Islam untuk mendengar nasihat kelompok ini, kerana mereka sendiri tidak mewakili umat Islam apalagi untuk mempengaruhi orang bukan Islam.

JAWAPAN:

Dakwaan bahawa tidak ada orang bukan islam mendengar nasihat kelompok yang membenarkan penggunaan kalimah Allah bukan cara berhujjah yang betul. Hujjah tidak boleh dilihat kepada, "apakah non Muslim mendengar nasihat atau tidak"

Yang pastinya, Al-Quran mengizinkan penggunaan tersebut. Cumanya, wujud kebimbangan bahawa kononnnya berlaku agenda dalaman Kristen.

Semua manusia mempunyai agenda. Mana mungkin manusia melakukan sesuatu tindakan tanpa agenda. Pemuda PAS mengedar risalah dakwah malam tahun baru kepada anak-anak muda, mempunyai agenda juga. Begitujuga Kristian yang menerbitkan majalah agama mereka

Apabila mereka menerbitkan majalah kristian dengan menggunakan kalimah ”Allah”, sudah pasti mereka mempunyai agenda. Terlalu bohong, kalau kita kata mereka tidak mempunyai agenda.

Cumanya, yang kita perlu fikir, bagaimana kita hendak berhadapan dengan agenda mereka?

Kita perlu berhadapan dengan agenda mereka dengan bijaksana. Jika kita menganggap agenda mereka ini sebagai ancaman, ini membuktikan kita tidak bijak dalam berhadapan dengan agenda. Sebaliknya, ia perlu dianggap sebagai cabaran dalam mengkuatkan usaha dakwah kepada non Muslim.

Jangan disebabkan kita menganggap ia sebagai agenda, lalu kita bertindak satu tindakan yang boleh menyebabkan pandangan umum terhadap Islam semakin buruk, seperti ia boleh melahirkan pandangan bahawa Islam adalah agama yang mengongkong, tidak berfikiran terbuka, penakut, pengecut dan sebagainya. Jika ini berlaku, sedikit sebanyak kita telah berjaya diagendakan oleh mereka.

Justeru, kita perlu bertindak sesuai dengan apa yang telah dilakukan oleh Nabi SAW. Iaitu, bersungguh-sungguh dalam menerangkan maksud ”Allah” kepada non Muslim dengan maksud yang sebenar. Ketika itu, kita akan dapat melihat perubahan yang besar akan berlaku dalam masyarakat Malaysia, sepertimana perubahan besar yang telah dilakukan oleh Nabi SAW.

KEDUA BELAS:

Dr Khalif Muammar berkata;

Bagi umat Islam ia adalah satu kerugian yang sangat besar. Islam tidak akan rugi, berkurang atau rendah kerana hal ini tetapi umat Islam akan semakin terhimpit.

JAWAPAN:

Keizinan terhadap non Muslim dalam menggunakan kalimah Allah sebenarnya tidak merugikan umat Islam, bahkan ia memberi keuntungan yang sangat besar terhadap kefahaman Islam itu sendiri. ini kerana, dengan keizinan tersebut, menampakkan kepada non Muslim betapa Islam adalah agama yang adil kepada semua, tidak kira terhadap mereka yang beragama Islam, mahupun yang tidak beragama islam.

Jika mereka memahami keadilan islam, sudah pasti mereka akan mengakui kebenaran Al-Quran. Waima mereka tidak memeluk islam, sekurang-kurangnya, mereka mengakui bahawa islam adalah agama yang cukup adil.

KETIGA BELAS:

Dr Khalif Muammar berkata;

Perlu juga ditegaskan penekanan kepada adab di sini bukan untuk menghalang ijtihad di kalangan ilmuwan tetapi menegaskan peri pentingnya meletakkan sesuatu pada tempatnya. Seseorang ilmuwan yang memberikan pandangan dalam hal yang bukan kepakarannya tidak sama sekali dapat disebut sebagai ijtihad. Pandangan yang diberikan oleh ulama seperti ini sebenarnya bukan ijtihad. Pandangan seseorang ulama dikatakan ijtihad jika ia memiliki ilmu yang mencukupi dalam bidang tertentu dan berusaha dengan sebaik mungkin untuk memahami sesuatu persoalan sampai ke dalam dalamnya, barulah apabila dua syarat ini dipenuhi maka ia dikatakan ijtihad, jika tidak ia hanya boleh dianggap pandangan seperti pandangan orang awam. Hanya ijtihad sahaja yang jika salah sekalipun mendapat satu pahala, sedangkan pandangan yang mengelirukan boleh mendatangkan dosa khususnya apabila pandangan itu diberikan tanpa hati-hati, tanggungjawab moral dan ketaqwaan.

JAWAPAN:

Ijtihad ulama terbahagi kepada dua, (1) ijtihad dalam perkara yang melibatkan pemahaman nas, (2) ijtihad dalam mentatbiqkan sesuatu hokum yang telah diputuskan oleh mujtahid mutlak kepada masyarakat (dalam istilah arab disebut Al-Ijtihad At-tanzili).

Ijtihad dalam bentuk pertama adalah, ijtihad dalam memahami nas. Iaitu, mengeluarkan hokum harus, wajib, sunat, makruh dan haram dari sumber yang asli, Al-Quran dan As-Sunnah. Ijtihad bentuk ini, memerlukan syarat-syarat yang ketat bagi melayakkan diri menjadi mujtahid.

Adapun mujtahid dalam ijtihad bentuk kedua, ia tidak memerlukan syarat yang ketat, bahkan memadai memahai sesuatu fatwa ijtihad mujtahid, kemudian mengetahui masa dan tempat yang sesuai untuk mentatbiqkan fatwa itu kepada masyarakat.

Hal ini dapat dilihat, dalam isu mentatbiqkan hokum teroka tanah di Malaysia. Dalam mazhab As-Syafiee, semua orang yang meneroka tanah akan menjadi miliknya tanpa mendapat keizinan dari pihak kerajaan. Adapun jika dirujuk kepada mazhab hanafi, sesuatu tanah yang diterokai, tidak boleh menjadi milik peneroka, melainkan mendapat keizinan dari pihak kerajaan terlebih dahulu.

Dalam isu tanah ini, untuk ditatbiqkan di Malaysia, fatwa Imam Syafie tidak relevan, tetapi yang relevan adalah fatwa Imam hanafi.

Bermakna, dalam mentatbiqkan hokum teroka tanah di Malaysia, tidak perlu kepada kepakaran mengistinbatkan hokum sepertimana kepakaran seperti Imam Syafie dalam mengeluarkan fatwa tentang hokum tanah daripada nas. Bahkan, ia sudah cukup sekadar mengetahui fatwa-fatwa ulama tertentu, kemudian memahami keadaan setempat untuk ditatbiqkan hokum yang telah difatwakan.


Sekian

"Allah For All * Islam For All"

"Islam Adil untuk Semua"

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Danau kota
10 Januari 2010 * 11:45 malam




[1] Al-Bukhari : 419.

12 ulasan:

Qubezo berkata...

Masya Allah. Segala hujah dibahaskan dengan hujah yang baik. Tahniah Ustaz. Saya rasa lebih faham sekarang.

Tanpa Nama berkata...

macam mana pulak harun din mengkafirkan orang islam yang sokong orang kafir guna kalimah allah?

Tanpa Nama berkata...

setahu saya org kristian mesir panggil tuhan mereka Ruh Qudus, tak pernah pon panggil Allah... dan org arab kristian mesir amat marah bila penganut mereka panggil Ruh Qudus mereka Allah, sebab kat sana bilamana sebut nama Allah, bermakna mereka dah bersaksi yang Allah itu satu, tiada dua dan tiganya, maka otomatik tertolak trinity tu.

Ibnu Ali berkata...

Kan seronok baca ulasan begini. Tiada ayat menghina. Perkataan merendah2kan orang lain.

Takde masalah kan?

Tanpa Nama berkata...

ulasan ni dangkal.
hampa nak tolak pendapat harun din.
dia tu ulama.
dia dah ajak hampa jaga agama dan melayu.
hampa memang tolak ulama.
hampa tolak ulama demi undi.
hampa memang juai agama untuk politik.

: Umno Pinang :

Tanpa Nama berkata...

orang pas memang tak pakai ulama.
cakap kepimpinan ulama.
harun din tu ulama.
tapi tolak ulama.

sila layari
http://arifomar.blogspot.com/

Tanpa Nama berkata...

http://al-ghari.blogspot.com/2010/01/penyelewengan-tauhid-dan-kalimah-allah.html

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum...

1. Sekiranya dikatakan Allah itu terjemah Bahasa Arab untuk tuhan Yahweh/ Elohim ekoran memberi kefahaman kepada bangsa Arab, mengapa pula ada "banyak" perkatan bukan Bahasa Arab di dalam al-Quran?.

2. Tidak bolehkan orang bukan Islam akhirnya percaya bahawa Allah itu tuhan mereka?.

Memang fitrah pada manusia itu sendiri bahawa Allah itu tuhan mereka bukan?.

Cumanya mereka menokok tambah terhadap Allah. "Tuhan punya anak". "Tuhan boleh dijelmakan dengan berhala".

Waima apabila mempelajari ilmu kalam atau usuluddin sekalipun, ilmuannya memberikan pembahagian rububiah dan uluhiah.

Dengan memahami pembahagian ini sahaja sebenarya tidak timbul persolan "bolehkah Allah digunakan terhadap non muslim".

3. Tuhan itu hanyalah satu. Itulah Allah swt. Kerana itu turun surah al-Ikhlas untuk menerangkan Allah itu "bagaimana".

Demikian juga surah al-Kafirun, ayat Kursi dll.

4. Sekiranya dikatakan penggunaan nama Allah terhadap non Muslim berlakunya deislamisasi, maka tidakkah non Muslim itu berlakunya Islamisasi?.

Malah dalam hal ini Muslim semakin jauh dari agama Islam dan non Muslim semakin dekat dengan Islam. Begitu?.

Pelik.

Bukankah petanda yang baik non muslim inginkan tuhan yang empunya Islam iaitu tuhan yang satu. Allah.

5. Apabila dikatakan non Muslim tidak faham akan konsep Allah yang sebenar, maka jalan selamatnya ialah memilih antara dua;

boleh "atau" tidak boleh guna

beginikah?

Maka tiada gunanya lagi forum, hiwar, jidal, munaqasah, mufahamah dll.

Inilah masanya mengemukakan hujah masing-masing.

6. Sekiranya perkataan Allah itu ada makna umum dan khusus pada surah-surah tertentu, maka bagaimana kita ingin mengetahui pembahagiaan tersebut?.

Adakah dengan proses Islamisasi maka kita boleh bahagian Allah dalam surah itu khusus dan Allah dalam surah ini umum?.

Malahan permasalahan semakin bercelaru apabila tafsiran erti umum dan khusus membawa natijah non Muslim Arab boleh menggukan perkataan Allah dan non Muslim selain Arab tidak boleh menggukan perkataan Allah.

7. Agaknya persoalan apa tidak perlu ditanyakan dalilnya?. Tiada dalil maka tiada kebenaran.

8. Bukankah kemampuan mengeluarkan ayat-ayat atau hadith itu "proses awal" dalam menanggapi suatu persoalan?.

Setelah itu barulah terbit kefahamannya?.

Bahkan kenyataan mujtahid itu perlu faham yang mendalam terhadap al-Quran dan sunnah "serta" bukanlah mujtahid itu kemampuan mengeluarkan ayat-ayat atau hadith adalh kenyataan yang bercanggah.

Bukankah al-Quran itu terdiri dari ayat-ayat dan sunnah itu terdiri dari hadith?.

Letihlah... berkata...

Aku nak tunggu ulasan bakulstani bila satu hari nanti kristian di Malaysia tukar nama "Gereja" kepada "Rumah Allah"...kan depa boleh guna Allah...Bakulstani kata ok.....!

al-Balingi berkata...

Syabas ustaz...syukran

Tanpa Nama berkata...

Saya ingin berkongsi sebuah artikel karangan harunyahya berkaitan subjek ini di http://tr1.harunyahya.com/Detail/T/EDCRFV/productId/20066/

Tanpa Nama berkata...

Albakistani wrote:

Mengapa perlu didebatkan tentang kalimah Allah dari sudut bahasa dan istilah. Lainlah kalau didebatkan beda antara kalimah "ilah" dengan "Allah".


Boleh ustaz jelaskan lagi secara terperinci kenyataan ustaz ni dan berkenaan bahawa Allah yg disebut oleh kafir quraish itu hanyalah dari segi bahsa sahaja?