Rabu, 13 Januari 2010

WACANA KALIMAH ALLAH DI UPM


WACANA KALIMAH ALLAH DI UPM

Dalam satu wacana isu kalimah Allah yang diadakan di UPM. Ada seorang ustaz muda memberi pendapat dalam menghuraikan beberapa perkara, tetapi sedih ia tidak dibuka untuk perbincangan kepada khalayak. Jika dibuka, aku bercadang untuk berkongsi pendapat, tetapi apakan daya, ia tidak memberi ruang.

Antara perkara yang ingin dipersoalkan adalah seperti berikut;

PERTAMA:

Firman Allah;

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ

Maksudnya;
”sekiranya kamu bertanya mereka (non Muslim) siapakah yang mencipta langit dan bumi dan menggerakan matahari dan bulan, pasti mereka akan menjawab Allah. Mengapakah mereka dapat dipalingkan?”

Ayat ini tidak boleh menjadi dalil untuk membenarkan non Muslim menyebut nama Allah, kerana ia mengandungi maksud menempelak orang kafir.

JAWAPAN:

Jika benar ayat ini mengandungi maksud menempelak sekalipun, bukan bermakna ayat ini tidak boleh dijadikan dalil untuk membenarkan non Muslim dari menyebut nama Allah. Ini kerana, kaedah dalam pengajian ilmu tafsir ada menyebut;

العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب

Maksudnya;
“Pengajaran dengan umum lafaz, tidak boleh (dibataskan) dengan sebab yang khusus”

Walau ayat ini, ia mengandungi sebab yang khusus, iaitu tempelak terhadap non Muslim, tetapi ia tidak menafikan maksud umum ayat yang menggambarkan keizinan non Muslim menyebut kalimah Allah.

KEDUA:

Kita tidak memberi non Muslim mengunakan kalimah Allah dengan memakai kaedah ‘uruf.

JAWAPAN:
Dalam pengajian ilmu qawaid Fiqhiyyah, ada dibincangkan tentang ’Uruf. Dalam bahasa arab, ’Uruf diterjemah sebagai ”perkara yang telah diketahui oleh akal, disamping umat sepakat menerima
[1]”. Dalam kitab Al-Maqasid As-Syariiyyah Fi Qawaid Al-Fiqhiyyah mendefinisikan ’Uruf sebagai perkara yang diketahui baik disisi syarak[2].

Asas kaedah ’uruf ini dilihat kepada satu hadis Mauquf, bahawa Abdullah bin Ma’sud ada berkata;

مَا رَآهُ الْمُسْلِمُونَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ حَسَنٌ

Maksudnya;
“Apa yang orang islam melihat ia sebagai baik, maka disisi Allah pun baik
[3]

’uruf diguna-pakai dalam beberapa keadaan, iaitu; (1) perkara yang tiada nas, (2) perkara yang ada nas, tetapi bimbang melahirkan mudharat.

Contoh ’uruf dalam perkara yang tiada nas adalah, dalam menentukan sekurang-kurang dan selama-lama haid, umur baligh, kadar najis yang dimaafkan dan sebagainya.

Adapun contoh uruf yang mempunyai nas, tetapi bimbang berlaku mudharat, adalah seperti tidak melaksanakan hudud kerana bimbang perlaksanaan itu akan melahirkan mudharat yang lebih besar, seperti penolakan hukum Islam itu secara total dan sebagainya.

’uruf tidak bersifat kekal dan Qatie, sebaliknya ia bersifat Zanni, bahkan ia bersifat berubah-rubah. Ia digunakan, demi mencapai kemaslahatan yang lebih besar terhadap Islam itu sendiri, disamping dapat menolak mudharat.

Dalam isu penggunaan kalimah ”Allah”, kaedah ’uruf ini digunakan pakai bagi tidak membenarkan non Muslim menggunakannya. Persoalannya, apakah ia tepat?

Hudud wajib dilaksanakan. Tetapi, disebabkan dengan sebab perlaksanaan boleh melahirkan mudharat yang lebih besar disebabkan uruf rakyat yang tidak faham, menyebabkan perlaksanaan hudud perlu ditangguhkan.

Pun begitu, setelah majoriti rakyat memahami, ketika itu perlaksanaan hudud perlu diusaha agar dilaksanakan tanpa syak lagi. Dengan kata lain, ketika terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu perlaksanaan hudud ekoran uruf rakyat yang tidak menerima hudud, ia tidak boleh dibiarkan rakyat begitu sahaja, bahkan hendaklah diusahakan agar rakyat memahami hudud, sehingga majoriti rakyat menerima hudud.

Bermakna, asas dalam uruf ini, apakah ia dapat melahirkan mudharat yang lebih besar, ataupun mendatangkan maslahah? Sekiranya mendatangkan mudharat, apakah mudharat yang berlaku itu semakin besar, atau semakin kecil? Sekiranya ia mendatangkan maslahah, apakah ia boleh menolak mudharat?

Penangguhan perlaksanaan hudud, dengan tujuan untuk menolak mudharat, disamping untuk mencapai maslahah di masa akan datang dengan begitu banyak sekali; iaitu kejayaan perlaksanaan hudud itu tanpa mendapat sebarang penolakan dan pemberontakan.

Maka begitujuga, dalam isu kalimah Allah. Apakah dengan menafikan keizinan non Muslim menggunakan kalimah Allah tersebut, benar-benar mendatangkan maslahah kepada Islam, atau mendatangkan mudharat kepada Islam?

Apa yang dapat dilihat, penolakan itu menyebabkan masyarakat non Muslim mula melihat Islam adalah agama yang tidak adil, iaitu menafikan hak mereka dalam penggunaan kalimah Allah. Apabila ini berlaku, sudah pasti Islam yang hakikatnya adil, telah dilihat sebagai zalim. Sudah pasti, kemudharatannya amat besar.

Yang pentingnya adalah, apakah tindakan kita itu benar-benar memberi maslahah kepada Islam, ataupun sebenarnya memberi mudhadarat terhadap islam itu sendiri.

Sekian

sila baca beberapa kitab cadangan, seperti As-Siyasah As-Syariiyyah karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Dhawabit Al-Maslahah fi As-Syariah Al-Islamiyyah karangan Dr Said Ramadhan Al-Buti, Al-Asybah Wa An-Nazair karangan Imam As-Sayuti, Al-Wajiz fi Qawaid Al-Fiqh Al-Kulliyyah karangan Dr Talaat Abdul Ghaffar Hajjaj, Al-Muwafaqat karangan Imam As-Syatibi dan Al-Maqasid As-Syariyyah karangan Dr Syed Soleh.

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
14 Januari 2010 * 2:14 pagi



[1] Al-Wajiz fi Qawaid Al-Fiqh Al-Kulliyah : 204.
[2] M.s : 183.
[3] Al-asybah Wa An-Nazair : 1/164.

2 ulasan:

Korakora berkata...

assalamualaikum,

tertarik dengan judul buku ini - melambangkan kesederhanaannya juga tanpa ada unsur berlebih-lebihan. saya hanya melihat judul, belum isinya.

pemilihan tajuk kezuhudan umar abdul aziz tepat dengan sejarah yang sudah dicatatkan itu, manakala penggunaan tajuk kesederhanaan pada nik abdul aziz juga melambangkan unsur yang tidak melampau-lampau.

Ibnu Ali berkata...

Merujuk kepada isu penggunaan kalimah Allah bagi non muslim di Malaysia, Markaz Pengumpulan Kajian & Hasilan Penyelidikan PMRAM (MANHAL) mengutarakan pandangan para ulama' berkenaan isu tersebut dan syor dari MANHAL.

1.Secara umum, para ulama telah terbahagi kepada dua pandangan.

• Pandangan pertama: Membenarkan non muslim menggunakan kalimah Allah. Pandangan ini bersandarkan dengan firman Allah di dalam surah Luqman ayat 25 yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu, siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad) Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka itu. Bahkan kebanyaakn dari mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)”

Firman Allah dalam surah al-Mu’minun ayat 86-87 yang bermaksud:

“Tanyakanlah lagi siapakah yang memiliki dan mentadbir langit yang tujuh dan tuhan yang mempunyai arasyh yang besar? (86) Mereka akan menjawab (semuanya) kepunyaan Allah. Katakanlah (wahai Muhammad) mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?” (87)

“Para ulama empat mazhab menyatakan dalam masalah sumpah bahawa non muslim hendaklah bersumpah dengan nama Allah.” (Dr. Wahbah Zuhaili, al-Feqh al-Islami Wa Adillatuhu 8/136)


• Pandangan kedua: Tidak membenarkan non muslim menggunakan kalimah Allah berdasarkan hujah-hujah berikut;

Nama Allah mungkin digunakan sebagai nama khas untuk makhluk sedangkan ijmak ulamak tidak mengharuskannya sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Qarafi. (rujuk Al-Furuq 3/111, Mawahib al-Jalil 3/279)

Apabila mengizinkan non muslim menggunakan kalimah Allah, ini bakal mendedahkan nama Allah kepada penghinaan apabila disifatkan dengan pelbagai sifat yang menyalahi akidah muslim. Masalah ini didapati dari apa yang dibahaskan oleh Ulama' mazhab Syafei bahawa haram kepada seorang muslim menulis nama Allah dalam fatwa kepada ahli zimmah (non muslim) kerana ia boleh menghina nama Allah SWT.

“Dapat diambil iktibar darinya (mendedahkan mashaf kepada kehinaan sekiranya dimiliki orang kafir) adalah lebih utama mengharamkan muslim menulis Lafaz Jalalah (kalimah Allah) pada soalan dan jawapan apabila diminta fatwa oleh kafir zimmi.” (Hasyiah al-Bujairimi ‘Ala al-Khatib 3/314, Hasyiah al-Syarwani ‘Ala Tuhfah Al-Muhtaj 4/230)

2. Secara asasnya, pihak MANHAL bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah digunakan oleh non muslim.

3. Namun melihat kepada realiti dan sensitiviti umat islam di Malaysia, MANHAL mencadangkan agar kerajaan tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada non muslim secara bertulis atas dasar menutup implikasi buruk yang mendatang. Mengutamakan mudarat umum lebih utama daripada melihat maslahat pihak tertentu sebagaimana ditegaskan oleh Imam Syatibi dan juga Imam Ghazali.

"Sekiranya dapat dibaiki kemudaratan dan dapat dihilangkan sekaligus maka lebih utama diambil kira kemudaratan umum tersebut (daripada maslahat khusus), Jadi dihalang orang atau pihak tertentu dari mendapat maslahatnya. Ini kerana maslahat yang umum perlu diutamakan daripada maslahat khusus" (Al-Muwafaqat 2/348)
"Dan sangkaan yang menghampiri martabat yakin apabila bersifat umum dan amat besar bahaya padanya (sekiranya tidak diraikan) maka dipandang kecil individu-individu tertentu seandainya dibandingkan dengannya" (Al-Mustasfa 1/424)

4.Sekiranya kerajaan bercadang untuk membenarkan non muslim mengguanakan kalimah Allah, maka syarat-syarat yang ketat mestilah dikenakan demi memastikan perkara-perkara di atas tidak berlaku. Hukuman yang berat juga mesti dikenakan kepada pihak yang menyalahgunakan kebenaran tersebut. Ini demi memastikan kesucian nama Allah terpelihara dari sifatnya yang Maha Esa.

Sumber: http://www.pmram.org/index.php?option=com_content&view=article&id=770:kenyataan-rasmi-manhal-pmram-tentang-isu-penggunaan-kalimah-allah-oleh-non-muslim&catid=8:isu-semasa&Itemid=70