Jumaat, 6 Mac 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 14

MENEMANI ISTERI DALAM PERJALANAN

Isteri yang disayangi adalah isteri yang selalu dijaga keselamatannya oleh suami, juga sering dirisaukan oleh suaminya dikala berada di luar rumah, mahupun di rumah.

Sebagai isteri, mereka tidak seharusnya rasa ”tersepit” atau terganggu dikala sering ditanya suami dengan soalan-soalan seperti, dimana mereka berada, apakah waktu mereka tiada dirumah itu sesuai atau tidak?? Ini kerana, soalan-soalan sebegini menggambarkan kebimbangan suami terhadap mereka, yang sudah pasti semuanya terlahir daripada perasaan sayang suami terhadap mereka.

Mengambil tahu keadaan keselamatan isteri ini merupakan tuntutan Islam yang ditunjuk ajar oleh Nabi SAW, bahkan ianya terbukti dengan salah satu hadis Sofiyyah, salah seorang Isteri Nabi SAW yang berkata;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُعْتَكِفًا فَأَتَيْتُهُ أَزُورُهُ لَيْلًا فَحَدَّثْتُهُ وَقُمْتُ فَانْقَلَبْتُ فَقَامَ مَعِي لِيَقْلِبَنِي وَكَانَ مَسْكَنُهَا فِي دَارِ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ

Maksudnya;
“Rasulullah SAW beriktikaf, lalu aku datang menziarahi Nabi SAW pada satu malam. Aku berbual-bual dengan Baginda. Apabila aku bangun untuk pulang, Baginda SAW pun turut bangun untuk menghantarku pulang. Rumah Sofiyyah berada di kampung Usamah bin Zaid
[1]

Jika dilihat dalam beberapa hadis yang lain, kita akan dapati bahawa Sofiyyah binti Huyay bin Akhtab bukanlah seorang perempuan yang cantik, bahkan mempunyai badan yang gempal dan pendek, lebih-lebih lagi, bapa beliau adalah antara orang yang memusuhi Islam dan beragama yahudi, juga merupakan pembesar utama Yahudi Bani Nadhir yang terlalu memusuhi Nabi SAW dan pernah melancarkan provokasi jahat untuk memurtadkan sebilangan Sahabat
[2].

Ekoran dari itu, menyebabkan Aisyah dan Hafsah yang satu kali memerli bahawa mereka berdua lebih mulia disisi Nabi SAW berbanding Sofiyyah. Perlian dua isteri nabi itu menyebabkan hati Sofiyyah agak terguris, lalu melaporkannya kepada Nabi SAW.

Mendengar itu, baginda SAW berkata kepadanya;

ألا قلت: وكيف تكونان خيرا مني، وزوجي محمد، وأبي هارون، وعمي موسى

Maksudnya;
“Mengapa tidak kamu berkata; “bagaimana kamu berdua lebih baik daripadaku, sedangkan suamiku adalah Nabi Muhammad, “Bapaku” adalah Nabi Harun, dan “bapa saudaraku” adalah Nabi Musa??
[3]

Dalam keadaan Sofiyyah bukan isteri yang cantik pun, Baginda SAW amat menyayanginya. Sentiasa memberikannya semangat bagi berhadapan dengan kerenah-kerenah isteri yang lain, sehinggakan Baginda SAW amat menjaga keselamatan dirinya.

Hadis yang dinukilkan di atas, amat nyata dan jelas bahawa betapa Nabi SAW amat mengambil perhatian terhadap isterinya yang bernama Sofiyyah ini. Perhatian yang diberikan itu amat besar sehingga baginda SAW sendiri yang menghantar Sofiyyah pulang walaupun ketika itu Baginda sedang beriktikaf.

Tindakan yang dilakukan oleh Nabi ini, sedikit sebanyak akan melahirkan perasaan “diambil tahu” dalam hati Sofiyyah, yang sudah pasti akan lahirnya perasaan cinta yang membara terhadap suaminya yang merupakan Nabi akhir zaman itu.

Kepada para suami, hadis ini selayaknya dijadikan tauladan bagi melahirkan perasaan cinta yang membara antara kedua suami dan isteri. Isteri mana yang tidak mahu dijaga keselamatan dan sering diambil tahu oleh suaminya, ini kerana, apabila ini dilakukan oleh suaminya, pasti dari hati kecil mereka akan terlintas satu perasaan bahawa mereka akan rasa terselamat jika berada dibawah naungan suaminya, justeru itu, mereka akan rasa bahawa mereka benar-benar dicintai oleh suami.

Oleh itu, adalah satu tindakan yang kurang tepat jika ada sebilangan suami yang bertindak membiarkan isterinya pulang ke kampung dengan membiarkan mereka menaiki bas bersama dengan anak-anak, tanpa kehadiran suami menemani dalam perjalanan. Ini kerana, keadaan ini akan melahirkan banyak persepsi yang kurang sihat, sama ada dalam hati isteri, keluarga mertua malahan pada pandangan masyarakat umum.

Mudah-mudahan hadis ini menjadi panduan bagi suami bertindak dengan yang lebih baik dalam melahirkan perasaan kasih sayang antara suami isteri, demi mencapai kebahagiaan dalam mengharungi kehidupan rumah tangga yang diredhai oleh Allah SWT.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
7 mac 2009 * 3:19 petang


[1] Sahih Al-Bukhari : 3039.
[2] Tafsir Ibni Kathir : 1/382.
[3] Siyar Al-‘Alam Wa An-Nubala’ : 2/233.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Brilliant posting!!!! Have a nice weekend!!!

Tanpa Nama berkata...

Ustaz. soalan saya sangat-sangat terkeluar tajuk. Soalan saya, apa pandangan ustaz tentang sabdaan nabi apabila ditanya oleh seorang sahabat di manakah bapanya ? Lalu baginda menjawab sesungguhnya bapaku dan bapa kamu di dalam neraka ( Shohih Muslim - hadis bernombor kalau tidak silap 303 bab orang yang mati di dalam kufur kot. )

Persoalan saya, boleh atau tidak atau apakah jawapan yang selayaknya untuk menjawab status neraka atau syurga untuk ayah nabi s.a.w .

Terima Kasih

Tanpa Nama berkata...

anta ada tanya ke soalan itu kat ana????

insya Allah ana akan jawab kemudian... panjang perbahasan hadis ini, lebih-lebih lagi melibatkan maksud "Abi" dalam hadis ini..

doakan kelapangan masa untuk ana tulis ulasan anta ini..

sekian

Al-Bakistani

Tanpa Nama berkata...

terima kasih