Selasa, 3 Mac 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 9

TIDAK MARAH DENGAN KESILAPAN ISTERI

Setiap manusia tidak lepas dari sebarang kesilapan. Walaupun seseorang itu berhati-hati dalam tindakan pun, kadangkala berlaku juga kesilapan.

Ekoran dari itulah, kita akan dapati islam meletakkan asas bahawa dimaafkan kepada mereka yang melakukan sebarang kesilapan.

Sabda Nabi SAW;

وضع الله عن امتى الخطاء والنسيان وما استكرهوا عليه

Maksudnya;
”Allah tidak mengambil salah dari umatku dikala mereka tersilap, lupa dan dalam keadaan mereka dipaksa
[1]

Kesilapan itu kadangkala dilakukan oleh isteri. Kesilapan yang kecil, tidak seharusnya dijadikan modal utama untuk melahirkan pertelagahan antara suami isteri. Lebih-lebih lagi membawa kepada perceraian.

Jika dilihat kepada Nabi SAW, kita akan dapati Nabi SAW tidak menjadikan perkara remeh sebagai penyebab untuk melahirkan masalah antara suami dan isteri.

Keadaan ini dibuktikan dengan hadis riwayat Aisyah R.ha yang berkata;

كُنْتُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَبِيتُ فِي الشِّعَارِ الْوَاحِدِ وَأَنَا حَائِضٌ طَامِثٌ فَإِنْ أَصَابَهُ مِنِّي شَيْءٌ غَسَلَ مَكَانَهُ وَلَمْ يَعْدُهُ ثُمَّ صَلَّى فِيهِ وَإِنْ أَصَابَ تَعْنِي ثَوْبَهُ مِنْهُ شَيْءٌ غَسَلَ مَكَانَهُ وَلَمْ يَعْدُهُ ثُمَّ صَلَّى فِيهِ

Maksudnya;
”Aku dan Rasulullah SAW tidur atas satu hamparan, sedangkan ketika itu aku sedang berhaid. Darah haidku menitis terkena pada hamparan itu, didapati nabi SAW membasuh tempat titisan tersebut, dan tidak mengalihkan tempat itu, kemudian baginda menunaikan solat di situ. Apabila darahku menitis terkena pakaian baginda, Baginda SAW sendiri membasuh tempat yang kena titisan darah itu, dengan tidak mengalihkan tempat lain, kemudian menunaikan solat dengan pakaian itu
[2]

Dari hadis ini, kita akan dapati betapa lunaknya hati nabi SAW dalam menghadapi kesilapan isterinya yang tidak berhati-hati dengan titisan darah haid, sehinggakan ditempat tidur dan juga pakaian Nabi pun terkena dengan titisan darah itu. Didapati, Baginda SAW tidak bertindak memarahi isterinya atas kesilapan tersebut.

Jika diperhatikan balik pada hadis ini, masakan marah, bahkan nabi SAW sendiri bertindak membersihkan titisan darah haid isterinya itu, walaupun jika dilihat kepada tafsiran oleh sebilangan masyarakat kita, ianya dilihat sebagai ”jijik” atau tindakan orang yang ”takut bini”.

Tindakan Nabi SAW ini perlu dijadikan contoh dan tauladan oleh para suami. Iaitu, hendaklah mengambil sikap memahami dan mengerti keadaan isteri. Sebagai suami, dengan kesilapan kecil sebegini tidak selayaknya dijadikan modal untuk memarahi isteri atau menyingkap kalimah jijik dihadapan isteri.

Jika keadaan ini mampu dilakukan oleh suami, pasti isteri akan merasakan bahawa mereka disantuni suami mereka sendiri, dan sudah pasti perasaan cinta dan mesra kepada suaminya akan bertambah kuat.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
4 mac 2009 * 2:29 petang


[1] As-Sunan Al-Kubra : 7/387.
[2] Sunan Abi Daud : 235.

Tiada ulasan: