Jumaat, 8 Januari 2010

ALLAH PUN MAHU DI-ISLAM-KAN? - AMIN AHMAD


Artikle menarik dari seorang teman yang kami sering berwacana, iaitu Amin Ahmad. Sila baca, dan nilai dengan hati yang terbuka.

***

Terlepas apa juga azam tahun baru Masehi, 2010 di Malaysia ditandai dengan keputusan mahkamah untuk membenarkan Herald Tribune, sebuah penerbitan agama Kristian menggunakan nama Allah dengan maksud Tuhan dalam penerbitan mereka.

Biarpun keputusan ini boleh disemak semula melalui proses rayuan, secara agama-politik ia memadai untuk dijadikan modal politik – terutama untuk sebuah negara yang namanya lain meski mirip amalan negara Zimbabwe.

Maka tidak hairanlah, ketika saya meninjau pelbagai komentar sama ada bersifat berita, tulisan blog, status Facebook dan sebagainya, ia cenderung bersifat politik; dan politik bukan saja tentang siapa mahu jadi Perdana Menteri, malah ia boleh jadi agama mana yang mendapat manfaat lebih bila adanya keistimewaan, perlindungan dan apa juga kata untuk menunjukkan ‘sumbangan negara’ kepada pengasingan masyarakat berasaskan apa yang dapat dilihat.

Saya cuba membaca, membuat perbandingan, berfikir dan meneliti hujah mereka yang menganggap keputusan mahkamah ini sebagai satu ‘kekalahan’ di pihak Islam. Sebagai seorang muslim, ketika membiarkan emosi saya terdorong, hujah mereka ini mudah diambil dan dijadikan sebab untuk mendorong sebuah ‘perang’ terhadap apa yang boleh disifatkan sebagai ‘tidak Islami’.

Dan begitulah selalunya muslim ketika menghadapi isu-isu yang dikategorikan ‘sensitif’.

Saya memancing perbincangan dengan memuatkan kenyataan di status Facebook saya dengan ayat: “ketika Allah s.w.t. melalui Al-Quran dan Rasul s.a.w. membenarkan bukan muslim menggunakan nama Allah s.w.t., sementara kita tidak, kita patut tanya Islam mana yg kita usulkan?”.

Ia ternyata memanggil sejumlah komentar daripada rakan-rakan yang ikut perihatin, sama ada mereka yang menentang atau membenarkan nama Allah s.w.t. diguna-pakai oleh Herald Tribune.

Isu ini pernah saya bincangkan dengan seorang Profesor Dr. Ibrahim M. Zein, Dekan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadunan Islam (ISTAC) dalam satu kunjungan saya ke sana untuk membincangkan perkara berbangkit dalam Kajian Islam dan Demokrasi di Malaysia yang saya terlibat mengendalikannya. Beliau kelihatan terkejut dengan situasi yang ada dan menerangkan kepada kami bahawa di Timur Tengah, nama Allah s.w.t. memang diguna-pakai oleh penganut agama samawi seperti Kristian dan itu tidak menjadi isu besar di sana.

Di Malaysia, keharmonian hidup masyarakat majmuk dibina atas pemahaman bahawa isu agama dan kaum adalah sensitif justeru tidak wajar dibincangkan secara terbuka kerana kelak ia boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Namun, kebelakangan ini muncul pelbagai kelompok yang beranggapan bahawa pandangan jenis itu adalah konservatif dan tidak membina.

Dari sana muncul pelbagai perdebatan dalam masyarakat. Bahkan, ia bukan terhad kepada kelompok agamawan bertembung dengan kelompok yang dilabel liberal sebaliknya ia juga mengundang pertembungan sesama kelompok agamawan. Dalam kata lain, pertembungan pelbagai kelompok dengan pelbagai latar belakang dan kepentingan masuk ke tengah arus masyarakat.

Umat Islam bukan tidak tahu bahawa nama Allah s.w.t. ini telah lama digunakan oleh bukan muslim. Umat Islam juga tahu pengertian dari kata nama Allah s.w.t. ini berbeza bagi tiap agama; atau mungkin sebahagiannya sama.

Namun, kenapa polemik ini masih berterusan dan muncul?

Saya cuba mengerti kegelisahan teman-teman. Malah jujur saya katakan bahawa jika polemik ini berlaku di awal millennium lalu, mungkin saya juga memiliki sentimen serupa.

Memang saja akan datang jika muslim tidak bersungguh-sungguh memberikan komitmen kepada agama Islam, pemahaman generasi akan datang mungkin berantakan. Maka, itulah tugas Rasulullah s.a.w. yang kita diminta teruskan – berdakwah dan memberi pencerahan makna, bukan mencari jalan menunjuk keangkuhan kuasa.

Pokoknya, ia ada di dalam pemahaman manusia, bukan dilekat di badan. Pemahaman ini internal, bukan eksternal. Itulah sifat aqidah dari kata akarnya aqdun. Ia bukan seperti kunci yang dapat dilihat dan ditanggal. Ia lebih rumit.

Dewasa ini muncul umat Islam yang melihat perhubungan umat Islam dengan bukan Islam sebagai satu ancaman kepada akidah umat Islam. Dengan teknologi perhubungan yang kian bebas, wujud paradigma bahawa umat Islam inilah yang paling mudah terpesong, iman rapuh dan sebagainya sementara mereka paling memahami Islam dan tidak selain mereka. Juga hadir psikologi terancam membayangkan yang bukan Islam itu semuanya sedang berusaha menjadikan orang Islam murtad. Umat telah sekian lama dipaksa bertahan.

Saya pernah menulis tentang globalisasi memperkaya budaya. Kes asasnya sama dan saya menunjukkan pengalamanan Baghdad dilanda Mongol di mana akhirnya penjajah Mongol yang memeluk Islam!

Untuk saya, berebut guna nama Allah s.w.t. bukan ‘perlawanan’ yang patut umat Islam habiskan terlalu banyak masa untuknya. Seorang muslim yang rasuah dan salah guna kuasa misalnya, anda fikir mereka faham Allah s.w.t. itu Tuhan yang bagaimana?

Ia mengingatkan saya kepada tamsilan Martin Luther King: “kegelapan tidak boleh dihalau, nyalakan lampu!”

sumber : ummahonline

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamu'alaikum... Wan Ji ! semoga dirahmati Allah . ana teringat,dulu blog anta pernah di ban,atas sbb apa ye??? skrg blog anta menjadi semakin panas,org yg ban blog anta dulu tu xnak ban ke??? ke dah tercapai hasrat dorang...