Isnin, 4 Januari 2010

TERIMA KASIH PAS !!


TERIMA KASIH PAS !!

Sejak aku belajar, dari Pakistan hingga ke Mesir, aku tidak pernah berjumpa sebarang larangan pun untuk Non Muslim menggunakan kalimah Allah. lalu, apabila ada sebilangan ulama-ulama PAS menghalang, padaku, itu adalah teramat pelik, kerana ia menyalahi dengan pengajianku selama ini.

Padaku, Jika kita melihat ada perbedaan antara ilmu yang kita belajar dengan apa yang dilakukan oleh orang lain. kita boleh mengubah pendirian kita, tetapi dengan syarat, hendaklah disertakan hujjah dan bukti yang lebih kuat dari apa yang kita pegang selama ini.

Pun begitu, sekiranya tindakan orang lain itu tidak dapat mendatangkan hujjah yang lebih kuat dari apa yang kita faham, adalah satu tindakan yang salah jika kita mengikutnya. Tidak kira orang yang menyalahi kita itu seorang yang bergelar Tuan Guru, atau berdarjat PHD atau sebagainya. Itulah prinsipku dalam ilmu, dan aku sangat menerima, apabila Pak Bakaq Haq pernah sebut kepadaku, "Hampa kena wala' dengan Ilmu Hampa"

Padaku, jika PAS mengambil sikap menghalang, bermakna PAS telah melakukan beberapa perkara berikut, (1) menyanggahi Al-Quran yang membenarkan penggunaan kalimah “Allah” bagi Non Muslim, (2) menafikan hak Non Muslim yang diberikan oleh Islam itu sendiri.

Pun begitu, apabila ditimbulkan isu ”bimbang”, aku terima. Cumanya, cara pengurusan kebimbangan itu tidak cukup sekadar kita menyebut ”Aku bimbang la”. Ataupun, kita menafikan hak mereka. Tetapi, kebimbangan ini perlu dilakukan sesuatu tindakan sehingga tidak mendatangkan kemudharatan kepada Islam, sama ada dari sudut orang Islam, ataupun dari sudut orang Bukan islam.

Dari sudut orang Islam, bahawa dengan keizinan itu tidak menyebabkan orang Islam akan keliru. Dari sudut orang Bukan Islam pula, bahawa mereka tidak merasa meluat dengan Islam disebabkan mereka melihat seakan-akan Islam menafikan hak mereka.

Padaku, kalimah ”Allah” ini mempunyai karamahnya dan mukjizatnya tersendiri. Allah SWT sendiri ada menyebut, dengan zikrullah boleh menenangkan jiwa. Firman Allah;

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya;
“Ketahuilah. Dengan menyebut “Allah” boleh menenangkan jiwa”

(Surah Ar-Ra’d : 28)

Cuba bayangkan, jika setiap hari non Muslim itu menyebut kalimah ”Allah”, apakah tidak sampai satu masa nanti, Allah akan buka hati mereka dengan maksud kalimah ”Allah” mengikut maksud yang sebenar – iaitu Allah yang maha esa. itupun, jika kita yakin bahawa kalimah Allah itu ada mukjizatnya tersendiri.

Walaubagaimana pun, aku berterima kasih dengan PAS ekoran keputusan semalam yang memberi keizinan terhadap penggunaan Allah ini. Pun begitu, keizinan itu perlu diberi keizinan dalam konsep siyasah Syariiyyah. Iaitu, berfikir dan bertindak agar keizinan ini tidak melahirkan mudharat, bahkan hendaklah boleh melahirkan maslahah kepada islam itu sendiri.

Justeru, keizinan ini memerlukan perancangan dan plan tindakan yang bijak dan berhikmah. Kerana, jangan dilalaikan bahawa golongan bukan Islam juga mempunyai agenda pada kalimah ini. Makanya, kita umat Islam juga perlu menyusun agenda yang bijak sepertimana yang telah dilakukan oleh nabi SAW.


Sekian

"Allah For All * Islam For All"

"Islam Adil Untuk Semua"


Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
5 Januari 2010 * 1:11 petang

2 ulasan:

sudirumusibarat berkata...

sya sokong pandangan ustaz
Hakikatnya
Allah Yang Esa
Allah Maha Agung
Allah Maha Suci
Tidak berkehendak kepada sesuatu
sedang makhluk berkehendak kepada-Nya
mana mungkin tergeser
oleh makhluk yang bersifat baru
dan abjad-abjad rumi pun bersifat baru

Yang rugi yang hina yang baharu kerana tidak mengenal-Nya
dan tidak menunaikan hak-Nya

Unknown berkata...

saya tidak berssetuju dgn pandangan ustaz.

semua hujah yang diberi oleh ustaz mmg tepat sekali, tetapi kita perlu kembali kepada realiti masyarakat malaysia.

tidak semua orang mempunyai ketinggian ilmu mcm ustaz..terutamnaya pada masyarakat kita yg rendah ilmu agamanya atau pun budak sekolah yang masih cetek ilmunya..tidakkah akan menimbulkan kekeliruan kepada mereka apabila sbg contoh didekati oleh orang bukan islam yang menggunakan perkataan Allah untuk mengelirukan mereka.

bagi pendapat saya mencegah lebih baik, kerana selama ini tidak pernah ader pihak yang membangkitkan isu ini, tetapi kenapa sekarang..

sebarang kemungkinan boleh berlaku, maka sebagai langkah terbaik kita sepatutnya menutup risiko tersebut...

mmg benar hujah yang diberi ustaz, tetapi adakah masyarakat kita telah bersedia? adakah ustaz pernah bergaul dengan org islam dikelab malam,penagih dadah,yg hidupnya tidak berpandukan islam..tetapi mereka masih islam..dan ini adalah point2 kelemahan, yang mungkin digunakan oleh pihak terbabit jika kita membenarkan mereka menggunakannya.