Selasa, 5 Januari 2010

MENGAPA TUTUP AURAT?

MENGAPA TUTUP AURAT?

Aku terlalu yakin bahawa Islam agama yang mampu memberikan keadilan. Quran dan sunnah, merupakan panduan untuk mencapai keadilan yang cukup mengkagumkan. Keyakinanku itu tidak pernah bergoyang sejak sekian lama.

Ada pihak yang mendakwa bahawa Islam adalah agama yang zalim. “perempuan tutup aurat, sebenarnya telah melakukan kezaliman” dakwa seseorang. “apabila dia tutup aurat, bermakna dia telah merelakan dirinya kepanasan. Ini merupakan kezaliman pada dirinya sendiri” sambungnya lagi.

Jika didengar sekali pendapat ini, mungkin kita akan terpedaya. Hakikatnya, keadilan umum itu perlu didahulukan. Ini kerana, apabila perempuan tutup aurat, ia telah menyelamatkan kebuasan hawa nafsu syahwat lelaki. Apabila syahwat lelaki sudah terjaga, ketika itu gejala rogol, zina dan sebagainya berjaya dibendung.

Apabila gejala ini sudah terjaga, ia sebenarnya telah memberi keuntungan kepada perempuan yang menutup aurat itu sendiri. Apabila tersebar rogol dan zina, sudah pasti mangsanya adalah perempuan juga. Jika zina itu berlaku sehingga melahirkan anak, sudah pasti kesengsaraan hidup akan dilalui oleh perempuan.

Dari sini, kita akan nampak betapa Islam benar-benar ”berfikiran jauh” dalam usaha menjaga manusia, agar tidak ditimpa sebarang mudharat dalam kehidupan mereka.

Inilah keadilan Islam. Menjaga hak masyarakat umum itu lebih penting berbanding hak golongan khusus. Jika pendekatan ini berjaya diterangkan, tidak mustahil, keadilan islam ini pasti akan diterima oleh semua masyarakat, tidak kira mereka yang beragama Islam, mahupun yang tidak beragama Islam.

Yakinlah dengan Islam. kerana ia mampu memberi keadilan di dunia kepada semua alam, sama ada ia adalah binatang, tumbuh-tumbuhan, manusia yang beriman, juga manusia yang tidak beriman dengan Allah SWT.

Sekian

”Allah For All * Islam For All”

“Islam Adil Untuk Semua”

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
6 Januari 2010 * 2:32 petang

1 ulasan:

Aaifikir berkata...

Setuju dgn pandangan tuan. Syabas! ringkas dan padat...