Jumaat, 8 Januari 2010

BERTAUHID BUKAN LESEN BUAT ZALIM


BERTAUHID BUKAN LESEN BUAT ZALIM

Merenung dan bertadabbur dengan firman Allah dari surah Al-Imran, ayat 18;

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ

Maksudnya;
”Telah bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Dia. (bersaksi juga) adalah para malaikat dan orang-orang yang diberikan ilmu dalam keadaan melaksanakan keadilan”

Dari ayat ini, Allah menyebut bahawa melaksanakan keadilan merupakan perkara yang tersangat penting. Orang yang bersaksi dengan ketauhidan Allah adalah, manusia yang diberikan ilmu, dalam masa yang sama dia adalah manusia yang melaksanakan keadilan. Tidak ada faedah menjadi orang yang berilmu, tetapi ia tidak melaksanakan keadilan.

Ia membawa maksud, keadilan dan ketauhidan adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Memisahkan kedua-duanya, merupakan satu perkara yang tidak bersandarkan kepada wahyu ilahi.

Isu yang melibatkan bakar gereja, menampakkan kepada kita tentang konsep keadilan yang berasaskan kepada tauhid itu tidak berlaku. Jika dakwaan mengatakan bahawa dengan tauhid, membenarkan kita membakar gereja dengan alasan ”takut kufur”, sudah pasti ia tersasar dari ajaran Islam yang sebenar.

Tidak membakar gereja, bukan bermakna kita tidak bertauhid. Bahkan, tidak membakar gereja itu melambangkan keadilan bagi mereka yang mentauhidkan Allah SWT.

Dalam peperangan pun, Nabi SAW melarang dari membakar rumah ibadat-ibadat, inikan pula di masa aman. Sudah pasti, tindakan bakar gereja itu amat tersasar dari maksud Islam itu sendiri.

Perlu difahami, menghormati hak kristian dengan tidak mengganggu gugat agama mereka, termasuk gereja, bukanlah menunjukkan kelemahan iman, atau boleh membawa kepada kekufuran. Ia sama seperti, kita mengizinkan non Muslim minum arak, bukan bermakna kita menghalalkan arak; kita mengizinkan pembinaan rumah ibadat non Muslim, bukan bermakna kita redha dengan ajaran agama mereka.

Pemberian hak dan merelakan agama non Muslim adalah dua perkara yang berbeda. Ia tidak boleh disamakan. Ia sama juga seperti, kita mengizinkan pemberian penggunaan nama ”Allah” kepada non Muslim, bukan bermakna kita mengiktiraf agama mereka.

Jika kita mendakwa bahawa menyokong keizinan non Muslim menggunakan kalimah Allah merupakan satu tindakan yang boleh membawa kekufuran, lalu membakar gereja dengan alasan ”takut kufur”, sudah pasti kefahaman itu bercanggah seratus-peratus dengan ajaran Islam yang maha adil.

Justeru, atas konsep keadilan berasaskan islam perlu diketengah dan ditekankan. Juga perlu diingat, Islam tidak pernah redha dengan kezaliman, bahkan ia boleh melahirkan kecacatan kepada iman itu sendiri.

Sekian

p/s : Terima kasih kepada abang-abang dan teman-teman yang memberi nasihat atas kesilapanku yang lalu, tidak kira secara lembut atau keras. Aku terima dengan hati terbuka. aku mengaku kesilapanku. Mungkin ketika itu, Syaitan telah menguasai diri. Mudah-mudahan aku termasuk dalam maksud hadis Nabi SAW;

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya;
”Setiap anak adam pasti melakukan kesilapan. Sebaik-baik orang yang bersalah adalah, orang yang bertaubat (kembali ke pangkal jalan)
[1]

Wallahu ’Alam

”Allah For All * Islam For All”

“Islam Adil Untuk Semua”

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
9 Januari 2010 * 8:31 pagi

[1] At-Tirmizi : 2423.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sokong penggunaan kalimah allah bagi kafir boleh bawa kepada kekufuran.. statement itulah penyebab orang bakar gereja

- UMNO selatan

Tanpa Nama berkata...

ko tak payah minta maaf ngan harun din ni.
dia kafirkan orang macam ko.
takkan ko nak minta maap kat orang yang kapirkan ko kot?